suria

Kementerian Kesihatan Tidak Pernah Potong Peruntukan Kepada NGO Berkaitan HIV/AIDS

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan tidak pernah mengurang atau memotong jumlah peruntukan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang terlibat dalam program berkaitan HIV/AIDS seperti yang didakwa.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata apa yang berlaku ialah kementerian terpaksa menyekat peruntukan kepada NGO yang gagal mengemukakan laporan tahunan mereka kepada pihaknya.

"Kita tidak pernah memotong bantuan kepada mana-mana NGO, mereka perlu faham bahawa ini adalah dana awam dan kita tidak boleh beri sesuka hati jika tiada laporan tahunan yang lengkap," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan kali ke-11 Majlis Aids Malaysia (MAC) di sini Sabtu.

Beliau mengulas mengenai dakwaan segelintir NGO berkaitan HIV/ADIS bahawa peruntukan daripada Kementerian Kesihatan kepada mereka semakin berkurang.

Dr Lokman Hakim berkata bagi tempoh 2003 hingga 2012 sebanyak RM64.9 bilion diperuntukkan oleh kementerian kepada NGO yang berkaitan.

Sehubungan itu beliau berharap supaya NGO yang berkaitan dapat bekerjasama dengan pihak kementerian terutama dalam menyediakan laporan tahunan yang lengkap supaya mereka dapat terus menikmati segala bentuk bantuan.

Dalam perkembangan lain, Dr Lokman Hakim berkata sehingga akhir tahun lalu, bilangan Orang Yang Hidup Dengan HIV (OHDA) di seluruh negara dianggar berjumlah 81,000 dan djangka meningkat kepada 81,317 menjelang tahun 2015.

Sementara itu Presiden MAC, Tan Sri Mohd Zaman Khan mencadangkan supaya satu peraturan atau undang-undang bagi melarang majikan memberhentikan kakitangan mereka yang dijangkiti HIV/ADIS diperkenalkan.

Katanya undang-undang sedemikian perlu kerana pesakit HIV/AIDS juga mempunyai hak untuk berkerja dan menyara kehidupan.

Tanpa menyatakan jumlah kes yang wujud, Zaman Khan berkata "Kita tak mahu lihat pesakit ini mati terbiar di tepi jalan." - BERNAMA

Artikel Lain