suria

Pengarah Urusan Syarikat Tembakau Didakwa Terima Rasuah RM20,000

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah urusan syarikat pembekal tembakau, JT International Tobacco Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan memperoleh rasuah RM20,000 daripada seorang pengurus syarikat keselamatan empat tahun lepas.

Datuk Dr Ronald Louis Richards, 50, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya sekeping cek CIMB Bank kepunyaan syarikat Strikeforce Security Sdn Bhd bernilai RM20,000 daripada A.Kanapathy.

Cek itu kemudiannya dibayar kepada syarikat Asia Pacific Flight Training bagi tujuan membiayai yuran pengajian Private Pilot's Licence (PPL) anak tertuduh.

Syarikat keselamatan itu memberi cek tersebut sebagai suatu upah kepada Richards yang terlibat dalam mencadangkan pembaharuan kontrak kerja kawalan keselamatan syarikat itu di JT International Tobacco di Shah Alam.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di RHB Bank Centre, Jalan Tun Razak di sini pada 17 Jun 2008.

Richards didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000, atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan. Peguam H.R Dipendra yang mewakili tertuduh tidak membantah jaminan serta syarat tersebut.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan Richards diikat jamin RM15,000 berserta seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh melapor diri di Balai Polis Petaling Jaya setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 13 Jun untuk sebutan kes serta 13 hingga 15 Ogos untuk perbicaraan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain