suria

Mayat Lelaki Ditemui Tersangkut Di Jeti

KUANTAN: Mayat seorang lelaki yang hampir reput ditemui tersangkut pada tiang jeti di Tanah Putih Baru di sini, dipercayai dibawa arus air.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata polis menerima laporan penemuan mayat itu daripada orang awam pada pukul 5.52 petang semalam.

"Mayat itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat," katanya di sini, Jumaat.

Beliau berkata tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat yang dipercayai berada di dalam air lebih daripada 24 jam.

"Mangsa yang berkulit gelap itu hanya berseluar jeans biru tanpa baju manakala tali pinggangnya juga berwarna biru," katanya menambah tiada kesan cedera ditemui pada mayat.

Mohd Jasmani berkata buat masa ini polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut dan usaha sedang diambil bagi mengesan waris mayat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain