suria

JHEAINS Kerjasama Dengan Jakim Halang Kemasukan Buku Irshad Manji

TAWAU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini serta beberapa agensi lain akan menghalang kemasukan dan pengedaran buku 'Allah, Kebebasan dan Cinta' ke negeri ini, kata Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Nasir Tun Sakaran.

Beliau berkata buku karangan Irshad Manji, seorang pendokong lesbian, gay, biseksual dan transeksual itu, yang bertentangan dengan ajaran Islam, amat berbahaya kepada umat Islam terutama generasi muda kerana boleh memesongkan akidah.

"Bagi mengelak terpengaruh, masyarakat Islam tidak wajar memiliki buku atau membaca buku tersebut," katanya kepada pemberita selepas menutup kursus tiga hari 'Training of Trainer' (TOT) Pendakwah anjuran Jakim Cawangan Sabah, melibatkan 40 tenaga pendakwah Jakim dan guru kelas Al Quran dan Fardu Ain (Kafa) di sini, Jumaat.

Nasir yang juga menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam di Sabah berkata Jakim Sabah akan turun padang untuk memberi penjelasan kepada masyarakat Islam di negeri ini mengenai fahaman songsang ditulis dalam buku berkenaan.

Dalam ucapannya sebelum itu, Nasir berkata tugas menjadi pendakwah bukanlah mudah kerana ia memerlukan kefahaman yang baik tentang Islam dan ilmu lain selain usaha itu hendaklah dilaksanakan penuh keikhlasan dan rasa bertakwa.

Katanya, pendakwah harus mengetahui tentang kehidupan masyarakat terutama mnengenai adat istiadat.

Mengenai kerjasama sedia ada antara JHEAINS dengan Jakim, beliau berkata ia akan diteruskan di samping membabitkan agensi agama dan badan bukan kerajaan yang lain.

Menurut Nasir, Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Sabah di bawah JHEAINS yang dipengerusikannya akan memastikan kerjasama kedua-dua agensi itu berjalan dengan harmonis.

Katanya, perpaduan dan kesepatakan agensi-agensi terlibat akan menjadi pendinding dan pelindung terhadap ancaman akidah umat sekaligus memelihara kesucian agama Islam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain