suria

Serah Memorandum Berkenaan PDRM Kepada Kami - Pusat Perhubungan Awam Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Polis menasihati mereka yang tidak berpuas hati dengan sebarang isu berkaitan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menyerahkan memorandum mereka kepada Pusat Perhubungan Awam Polis Bukit Aman.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) Bukit Aman ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata langkah itu lebih baik berbanding mendesak berjumpa dengan kepimpinan tertinggi PDRM.

"Untuk bertemu kepimpinan PDRM ianya perlulah melalui proses temu janji yang perlu dipersetujui lebih awal antara dua pihak, selain ianya mengikut etika profesionalisme kepolisan.

"Mana-mana pihak tidak boleh bertemu dengan begitu saja tanpa temu janji," katanya kepada Bernama, di sini, Khamis.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) diketuai Anggota Parlimen Teluk Intan M. Manoharan yang berkeras ingin menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dalam kejadian 12 tengah hari tadi, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini.

Memorandum itu bagi membantah hasil siasatan polis mengenai kekecohan yang tercetus ketika pertembungan 200 anggota MIC dan sekumpulan wakil PKR di hadapan Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 2 Mei lepas.

Mengulas lanjut, Ramli berkata disebabkan kumpulan PKR itu datang tanpa temu janji, mereka tidak berpeluang menyerahkan memorandum tersebut kepada Ketua Polis Negara.

"Kami juga telah menawarkan kepada Manoharan untuk bertemu kepada Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh untuk menyerahkan memorandum berkenaan, kerana kes pergaduhan di Putrajaya itu di bawah siasatan polis kontijen berkenaan. Tetapi mereka menolak," katanya menambah kumpulan PKR itu akhirnya menyerahkan memorandum kepada beliau. -BERNAMA

Artikel Lain