suria

Sebuah Lagi MRSM Akan Dibina Di Utara Sarawak - Shafie

BETONG: Sebuah lagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan dibina di kawasan utara Sarawak selaras dengan matlamat untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan di kawasan luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pembinaan MRSM itu dimasukkan dalam peruntukan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Kita akan bina satu lagi MRSM di Sarawak dan lokasinya adalah di utara Sarawak dan ketika ini kita masih lagi dalam perbincangan dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan tapak yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian MRSM Batong di sini, Khamis.

Beliau berkata ketika ini terdapat 46 buah MRSM seluruh negara manakala di Sarawak mempunyai tiga buah iaitu masing-masing satu di Kuching yang mula beroperasi pada 1993, Mukah (2010) dan Betong (2008).

Katanya pewujudan MRSM dijangka dapat membantu masyarakat luar bandar Sarawak khasnya di kawasan utara negeri ini mendapat kemudahan pendidikan yang lebih baik. Ketika berucap, Mohd Shafie berkata usaha kerajaan membina MRSM di negeri ini termasuk di sini membuktikan komitmen tinggi kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membawa tranformasi pendidikan di luar bandar Sarawak.

"Usaha pembangunan yang dibuat oleh BN bukan setakat pembangunan fizikal semata-mata malah juga pembangunan modal insan dan ia adalah usaha berpanjangan," katanya. Katanya kerajaan BN telah membuat banyak transformasi di luar bandar Sarawak dan ia dapat dibuktikan dengan pembinaan kira-kira 2,000 kilometer jalan raya serta 36,000 rumah khas untuk golongan kurang berkemampuan dan miskin. -BERNAMA

Artikel Lain