suria

Perbincangan Selaraskan Caj Rawatan Hospital Swasta Dalam Masa Terdekat - Liow

SUNGAI PETANI: Kementerian Kesihatan akan berbincang dengan syarikat insurans dan pertubuhan penjagaan terurus (MCO) untuk menyelaraskan caj perkhidmatan rawatan swasta dalam masa terdekat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata perbincangan itu bertujuan melindungi pesakit daripada dikenakan caj berlebihan, terutama mereka yang mempunyai kad perlindungan insurans.

Katanya perbincangan itu juga akan melibatkan Persatuan Doktor Perubatan Malaysia (MMA) kerana kementerian perlu tahu pendapat dan pandangan mereka berhubung isu berkenaan supaya penyelesaian secara menyeluruh dapat dibuat.

Beliau berkata kementerian menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai perbezaan caj rawatan perubatan swasta, misalnya, bayaran caj rawatan secara tunai lebih murah berbanding dengan penggunaan kad perlindungan insurans.

"Amalan itu perlu dihentikan segera supaya tidak memberi kesan kepada pesakit kerana kadang kala perlindungan insurans yang dibeli oleh mereka adalah mengikut jenis perlindungan dan mempunyai had maksimum tertentu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Santapan Malam MMA, di sini malam Rabu.

Majlis itu turut dihadiri Tunku Laksamana Kedah Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Presiden MMA Dr S.R. Manalan.

Liow berkata kerajaan memandang serius amalan itu yang nyata akan menambah beban masyarakat yang kurang berkemampuan dan menyebabkan pesakit tidak dapat menikmati faedah premium insurans secara optimum.

Katanya kementerian telah mengeluarkan arahan kepada semua klinik dan hospital swasta supaya mempamerkan caj rawatan di laman web masing-masing bagi memudahkan tujuan penyemakan semula.

"Dengan kaedah itu, pesakit mempunyai pilihan sama ada untuk terus mendapatkan rawatan di hospital swasta berkenaan atau sebaliknya mengikut kemampuan mereka," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain