suria

Muzakarah Dengan Umno, Bukan Dengan NGO - Nik Abdul Aziz

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap dengan pendiriannya untuk mengadakan muzakarah dengan Umno dan bukan dengan badan bukan kerajaan (NGO).

Menteri Besar Kelantan itu berkata walaupun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat tidak bersetuju dengan pendiriannya itu namun beliau tidak akan berganjak dengan keputusannya.

"Saya tak ganggu presiden saya. Yang saya sebut, saya nak muzakarah dengan Umno kenapa tolak Islam. Kalau dia (Hadi) tak setuju dengan saya, tak apa... yang penting muzakarah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Kota Jembal, di sini, Rabu.

Abdul Hadi, pada Isnin lepas, dilaporkan berkata PAS tidak akan mengadakan muzakarah dengan Umno sebagaimana yang dilaporkan oleh media sebelum ini, sebaliknya sedia berbincang dengan NGO.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata Umno sedia bermuzakarah dengan mana-mana NGO yang berasaskan Islam dan Melayu, sekiranya PAS tidak bersedia berbuat demikian.

Nik Abdul Aziz berkata beliau juga tidak akan melonggarkan syarat yang telah ditetapkannya iaitu membincangkan mengenai dasar kebangsaan yang diamalkan Umno jika parti itu benar-benar mahu mengadakan muzakarah dengan PAS. - BERNAMA

Artikel Lain