suria

Mekanik Didakwa Dera Anak Teman Wanita Sehingga Koma

KUALA TERENGGANU: Seorang mekanik, pada Rabu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mendera anak teman wanitanya yang berumur dua tahun sehingga menyebabkan kanak-kanak itu koma dua minggu.

Azhar Yusof, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di depan Hakim Fadhilah Nor Wan Idris.

Dia didakwa menampar muka dan kepala Muhammad Danish Aiman Abdullah, dengan niat menyebabkan kematian dan kecederaan, di sebuah rumah di Kampung Tualang, Manir pada 9 malam, 20 April lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun serta denda, dan jika mangsa cedera, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud manakala Azhar tidak diwakili peguam.

Tidak ada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 27 Julai ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Lain