suria

Kem PLKN Tangkas Disita, Semua 248 Pelatih Dipindah Mulai Isnin Ini

KUALA LUMPUR: Kesemua 248 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Tangkas Kendiri, Kuala Kangsar, Perak akan dipindah ke kem PLKN di negeri masing-masing Isnin ini, susulan tindakan sita ke atas kem itu.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, tindakan sita yang diputus Mahkamah Tinggi Taiping kelmarin adalah kerana pemilik kem gagal menjelaskan hutangnya.

Proses pemindahan itu tidak akan menjejaskan program latihan dan pada masa ini pelatih telah selesai menjalani modul Pembangunan Kendiri, manakala baki dua modul iaitu Kenegaraan dan Khidmat Komuniti akan disambung di kem baru, katanya kepada pemberita, di sini, Khamis.

Abdul Hadi berkata, bagi jurulatih yang terbabit pula, JLKN akan memindahkan mereka ke beberapa kem yang telah dikenal pasti memerlukan tenaga pengajar.

"Saya ingin mengingatkan kepada semua pengusaha kem jangan sambil lewa dalam menguruskan kem mereka kerana jika perkara seperti ini berlaku sudah pasti akan menganggu perjalanan program latihan para peserta," katanya.

Kem Tangkas Kendiri yang telah beroperasi semenjak 2009 mampu menempatkan 250 pelatih dan diselia 40 jurulatih.

Terdahulu Abdul Hadi hadir pada majlis raptai akhir Persembahan Senam Seni yang disertai 1,008 pelatih dari tujuh kem PLKN Zon C, untuk program Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya Sabtu ini. - BERNAMA

Artikel Lain