suria

Isu Bukan Melayu Jadi PM Sebenarnya Bukanlah Satu Isu

Karpal Singh. Foto RICKY LAI
Karpal Singh. Foto RICKY LAI
Karpal Singh. Foto RICKY LAI

ISU bukan Melayu menjadi perdana menteri bukanlah isu sebenarnya. Ini kerana jawatan tersebut bukannya ditentukan oleh mana-mana akhbar atau individu tetapi ditentukan oleh parti yang menguasai Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum diadakan.

Sebelum itu terjadi, para pengundilah (nota: bukan rakyat Malaysia tetapi pengundi berdaftar) yang beramai-ramai menentukan parti manakah pada pandangan mereka layak diketengahkan untuk membentuk sebuah kerajaan yang sah.

Tetapi itu pun belum boleh pasti lagi mereka yang akan menentukan sama ada Melayu atau bukan Melayu yang bakal menjadi perdana menteri Malaysia nanti.

Harus diingat, sistem pilihan raya kita bukanlah sistem pilihan raya secara langsung memilih perdana menteri sepertimana pengundi Amerika memilih presiden.

Jika inilah sistemnya maka bukan Melayu ada peluang masuk bertanding sebagai calon perdana menteri dan biarlah pengundi menentukan sama ada mereka mahu memilih seorang bukan Melayu atau Melayu menjadi perdana menteri.

SISTEM

Tetapi dalam kes negara kita, pengundi yang harus terlebih dahulu mengundi memilih parti-parti politik dalam usaha untuk meletakkan seseorang calon itu sebagai perdana menteri.

Jadi, segala-galanya bergantung kepada parti manakah yang mempunyai majoriti perwakilan yang menang dalam pilihan raya itu nanti.

Misalnya jika Karpal Singh atau DAP mahukan salah seorang daripada kalangan mereka menerajui negara ini sebagai perdana menteri iaitu dari kalangan seorang bukan Melayu, mereka mestilah terlebih dahulu perlu memastikan DAP masuk bertanding majoriti kerusi daripada 222 kerusi yang layak dipertandingkan dalam pilihan raya umum nanti.

Daripada jumlah itu mereka mestilah terlebih dahulu menjadi parti yang memenangi kerusi paling banyak dalam Dewan Rakyat jika mahukan wakil mereka layak dinamakan sebagai perdana menteri kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Hakikatnya, DAP hanya akan bertanding tidak lebih dari 50 kerusi sahaja. Dan itu pun boleh dikatakan semuanya di kawasan majoriti pengundi Cina. Lawan mereka ialah calon-calon MCA, Gerakan atau MIC.

Lain pada itu pada hakikatnya tidak ada. Tak tahulah pula kalau dalam pilihan raya kali ini mereka mahu meletakkan calon di kawasan yang ditandingi Umno atau PAS atau PKR.

Itu pun mereka tidak boleh secara sesuka hati meletakkan calon kerana mereka telah bersetuju pada dasarnya tidak akan meletakkan calon di kawasan yang akan ditandingi oleh PAS dan juga PKR.

Jika mereka mahu juga, mereka perlu terlebih dahulu meminta izin PAS dan PKR. Mahukah kedua-duanya memberi laluan? Sudah tentulah tidak.

LAMBANG

Sebabnya ialah, jika ini boleh dikompromi dalam jumlah yang besar adalah lebih baik ketiga-tiga parti ini masuk bertanding menggunakan satu lambang sahaja sepertimana Barisan Nasional (BN).

Orang tidak pernah bertanya mengapakah ketiga-tiga parti berkenaan tidak mahu masuk gelanggang menggunakan satu lambang yang sama.

Bahawa DAP, PKR dan PAS tidak berani masuk gelanggang menggunakan satu lambang yang umum membuktikan bahawa pada realitinya, ketiga-tiga parti itu sedar, pertama bukanlah mudah untuk melakukan penjenamaan semula kerana pengundi untuk sekian lamanya sejak merdeka dan selepas itu hanya mengingati lambang roket, bulan penuh dan bulan sabit.

Jika letak lambang baru, pengundi mungkin dengan mudah dimanipulasikan bahawa parti-parti yang dahulunya berlambangkan bulan, roket dan bulan sabit sudah tidak masuk bertanding lagi. Ini bahaya yang tidak boleh diambil risiko.

Keduanya, ini juga jelas menunjukkan, dengan kekal menggunakan lambang masing-masing, adalah mudah pembahagian kerusi itu dilakukan mengikut kaum.

Walaupun ketiga-tiga parti ini mahu memperkenalkan politik baru yang melepasi garisan kaum tetapi hakikatnya ialah mereka tidak dapat menafikan atau melarikan diri daripada berfungsi berasaskan persempadanan kaum.

PENENTU

Jadi pada akhirnya yang akan menentukan di manakah mereka bertanding nanti ialah pengundi di sesuatu kawasan itu dikuasai oleh kaum mana.

Jika majoritinya pengundi Cina, itu adalah kerusi DAP. Jika Melayu itu mungkin PAS dan jika bercampur-campur itu adalah kerusi untuk PKR.

Ini adalah persetujuan umum yang dipersetujui walaupun tanpa syarat bertulis oleh mana-mana parti pun. Dalam BN pun sama.

Tetapi kadang-kadang kita dapat lihat dalam BN, ada kawasan majoriti pengundi Melayu diberikan kepada calon MCA atau Gerakan atas dasar setiakawan dan juga kompromi bagi membolehkan calon bukan Melayu berpeluang masuk bertanding dan menang.

Oleh yang demikian, akhirnya yang bakal menentukan siapakah calon perdana menteri Malaysia bukannya kerana calon itu Melayu atau bukan Melayu tetapi ialah oleh parti mana yang memperolehi kerusi terbanyak dalam Dewan Rakyat nanti.

Andai kata DAP menang semua kerusi yang ditandinginya sekali pun, secara logiknya, calon dari parti mereka tidak mungkin akan dapat dikemukakan sebagai calon perdana menteri.

Ini kerana yang akan bertanding majoriti kerusi nanti bukannya DAP tetapi sama ada PAS atau PKR.

Sebenarnya calon dari PKR lah yang paling hampir dengan impian seorang calon bukan Melayu boleh dilantik sebagai perdana menteri. Ini kerana PKR adalah parti pelbagai kaum.

Namun begitu sekali lagi, walaupun demikian, realiti politik akan menjadikan majoriti calon PKR nanti adalah Melayu dan parti itu akan sentiasa dipimpin oleh orang Melayu.

Tidak tahulah pula jika pucuk pimpinan PKR berasa wajar untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada mana-mana pemimpin bukan Melayu dari kalangan mereka.

KESIMPULAN

Jadi benarlah kata Lim Kit Siang bahawa realiti politik di Malaysia telah menentukan bukan Melayu tidak mungkin dapat menjadi perdana menteri walaupun dalam perlembagaan tidak menyatakan sedemikian.

Ini kerana Kit Siang memahami polar geopolitik Malaysia dikuasai oleh orang Melayu. Matematiknya adalah sangat mudah. Majoriti rakyat Malaysia masih lagi Melayu.

Andai kata esok nanti, majoriti rakyat Malaysia bukan lagi orang Melayu sepertimana yang terjadi di Singapura atau seimbang sama banyak antara Melayu dan bukan Melayu maka akhirnya bukan Melayu mempunyai peluang untuk dinobatkan sebagai perdana menteri Malaysia yang pertama.

Sehingga itu, impian Karpal Singh hanya boleh sekadar menjadi mimpi di siang hari atau polemik di dalam media massa hanyalah sesuatu yang membazirkan masa dan tenaga sahaja.

Artikel Lain