suria

ISU - SINDIKET JUAL BAYI: 500 Pasangan Sedang Tunggu Kelahiran Bayi Di Kewaja

Yahya Mohamed Yusof
Yahya Mohamed Yusof
Yahya Mohamed Yusof

PETALING JAYA: Pengasas Kem Modal Insan Kebahagiaan Remaja dan Wanita (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof berkata di tempatnya sahaja dia menerima lebih daripada 10 permohonan baru setiap bulan daripada ibu bapa yang ingin mengambil anak angkat yang masih bayi.

Katanya, sebagai tempat yang memberikan perlindungan sementara bersaiz sederhana secara sukarela kepada remaja dan wanita terlanjur, jumlah itu dianggap tinggi.

"Dari dulu sampai sekarang permohonan untuk ambil bayi dan dipelihara sebagai anak angkat sentiasa ada. Untuk permohonan sahaja, jumlahnya saya anggar tidak kurang daripada 500 dan mereka ini dimasukkan dalam senarai menunggu.

"Tidak hairanlah kalau kita baca di surat khabar ada pihak atau sindiket yang menjadikan bayi sebagai perniagaan," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Yahya atau lebih dikenali sebagai Pak Ya berkata dia menetapkan syarat hanya pasangan yang telah berkahwin selama lima tahun dan belum dikurniakan anak sahaja boleh memohon anak angkat daripada Kewaja.

Syarat itu ditetapkan kerana menyedari permintaan yang tinggi terhadap bayi dan bagi mengelakkan berlakunya lambakan permohonan.

Katanya, jika tempoh perkahwinan dikurangkan, dia percaya lebih ramai yang memohon untuk mengambil anak angkat dari rumah perlindungan ini.

Mengulas lanjut mengenai bayi dan sindiket, Pak Ya berkata urusan jual-beli bayi melibatkan sindiket sudah lama berlaku, dan dia sendiri mempunyai pengalaman yang mengesahkan kewujudan mereka dalam masyarakat.

Pak Ya berkata pernah suatu ketika seorang pekerja di Kewaja berhenti kerja secara tiba-tiba dan setelah disiasat pekerjanya itu menerima tawaran kerja dari sindiket menjual bayi.

"Mereka pujuk pekerja saya supaya berkerja dengan mereka kerana dia sudah ada pengalaman menjaga dan memberi perlindungan kepada mereka yang mengandung akibat terlanjur," katanya.

Pak Ya berkata dia kecewa kerana sindiket menjual bayi terang-terangan mengambil kesempatan terhadap gadis-gadis terlanjur bukan sahaja dengan menawarkan perlindungan tetapi juga mengaburi mata mereka dengan wang.

"Mereka jaga, bagi perlindungan sama dengan apa yang saya lakukan. Cuma mereka ubah suai sedikit, mereka jadikan bisnes," katanya, kesal.

Penerima Anugerah Famili Berjasa anjuran Yayasan Budi Penyayang Malaysia dan Astro 2005 ini menjelaskan, berbeza dengan sindiket menjual bayi yang semakin berleluasa, Kewaja melakukan proses penyerahan anak angkat mengikut prosedur yang betul dan mengikut perundangan.

Tiada bayaran tertentu ditetapkan kepada pasangan yang ingin mengambil anak angkat di sini.

"Mereka perlu tandatangan surat mahkamah, buat laporan polis dan buat pengesahan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Selepas dua tahun mereka perlu berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula," katanya.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1988, lebih 2,500 bayi berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada ibu bapa angkat yang layak.

"Bayi-bayi diserahkan kepada ibu bapa angkat atas beberapa sebab seperti ibu kandung tidak mampu menjaga, tiada pekerjaan, terlalu muda dan keluarga tidak dapat menerima bayi," katanya.

Kewaja ditubuhkan bertujuan memastikan keselamatan dan kesihatan ibu dan anak yang bakal lahir sempurna atau mendapat pengurusan, perhatian dan penjagaan yang sewajarnya.

“Kami juga cuba memulihkan mana-mana wanita atau remaja yang ingin kembali ke pangkal jalan setelah terlibat dengan aktiviti atau cara hidup tidak bermoral," jelasnya.

Artikel Lain