suria

Guru Perlu Terokai Kaedah Baru Pengajaran Untuk Kekal Relevan - Nong Chik

KUALA LUMPUR: Guru perlu berani meneroka dan mengaplikasi kaedah pembelajaran dan pengajaran terkini bagi memastikan peranannya dalam mendidik generasi pewaris negara kekal relevan, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merubah corak pendidikan daripada menekankan konsep hafalan kepada kemahiran proses berfikir perlu disambut oleh warga pendidik sebagai satu daripada cabaran dalam kerjaya masing-masing.

Justeru, katanya warga pendidik selaku ejen perubahan perlu memainkan peranan yang berkesan dengan meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing.

"Para guru jangan sekali-kali berasa jemu berusaha untuk menambah baik amalan pengajaran selain sentiasa berfikiran proaktif, kreatif serta inovatif bagi menghasilkan anak didik yang mampu bersaing di semua peringkat," katanya.

Beliau berucap merasmikan sambutan Hari Guru peringkat Wilayah Persekutuan di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia di sini, hari ini. Hadir sama Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Datuk Khairil Awang.

Raja Nong Chik berkata tanpa peranan yang dipacu oleh warga pendidik yang berada di barisan hadapan dalam sistem pendidikan negara, semua dasar dan pembaharuan terhadap transformasi pendidikan negara tidak akan memberi sebarang makna.

Beliau berkata harapan untuk melihat kualiti pendidikan negara melonjak ke tahap terbaik yang menjamin kepada lahirnya modal insan berkualiti bagi memacu transformasi negara sebenarnya bergantung kepada sentuhan keramat para guru, dan peranan itu terbukti menerusi pembangunan dan kemajuan yang dikecapi ketika ini.

"Justeru, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa seluruh harapan dan cita-cita rakyat untuk menjayakan proses transformasi negara dipertaruhkan kepada anda semua yang bergelar guru," katanya.

Majlis sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan ke-41 dilangsungkan di Kuala Kangsar, Perak pada 16 Mei lepas dengan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin. -BERNAMA

Artikel Lain