suria

SMS Berbaur Fitnah: ADUN Sungai Rambai Buat Laporan Polis

JASIN: Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai Hassan Abdul Rahman membuat laporan polis berhubung penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur fitnah terhadap dirinya ketika menghadiri perhimpunan aman menghalang kedatangan Pengerusi Bersama Bersih Datuk S. Ambiga bagi mempromosikan Bersih di Merlimau Sabtu lepas.

Hassan yang membuat laporan di Balai Polis Merlimau di sini, petang Selasa berkata laporan itu bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat dalang serta menghentikan penyebaran SMS berunsur hasutan dan perkauman yang mula tersebar Selasa.

Beliau berkata SMS itu mendakwa dirinya melakukan tindakan tidak bermoral dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kaum India ketika perhimpunan tersebut.

"Saya tidak pernah melakukan perbuatan tidak bermoral seperti yang disebarkan melalui SMS berkenaan, ia satu fitnah dan pembohongan yang dahsyat yang boleh menjatuhkan reputasi saya sebagai wakil rakyat serta menggugat keharmonian kaum di negara ini," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya perhimpunan tersebut berjalan secara aman dan penyebaran SMS tersebut merupakan taktik pihak tertentu yang mahu menggugat kekuatan kubu Barisan Nasional (BN) di Melaka.

Hassan turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan dua akhbar berbahasa Tamil yang memaparkan isu tersebut dalam halaman utama akhbar mereka, Selasa.

Sementara itu, 13 badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik di Melaka termasuk Gerakan Belia 4B cawangan Jasin, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia cawangan Batu Gajah Pasir dan Majlis Gerakan Belia Daerah Jasin turut membuat laporan sama kerana kecewa dengan penyebaran SMS tersebut yang boleh menggugat keharmonian dan kestabilan kaum di negara ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain