suria

Shariff Omar Nafi Tanding PRU-13 Atas Tiket PAS

KEPALA BATAS: Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Mohd Shariff Omar hari ini menafikan desas-desus, beliau akan bertanding atas tiket PAS pada pilihan raya umum ke-13.

Sebagai bekas anggota Parlimen kawasan itu, kesetiaannya pada parti tidak harus dipertikai malah beliau masih memegang jawatan Ketua Umno Cawangan Permatang Haji Hassan, Bahagian Tasek Gelugor, katanya.

Beliau berkata desas-desus yang digembar-gemburkan oleh beberapa penulis blog mungkin disebabkan beliau dilihat berbaik dengan semua pihak termasuk pemimpin parti pembangkang.

"Saya baik dengan semua orang walaupun berbeza fahaman politik. Mungkin mereka nampak saya baik dengan pemimpin PAS, jadi timbul dakwaan itu." katanya kepada pemberita di sini.

Mohd Shariff berkata pada PRU ke-12, beliau memberi laluan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk bertanding bagi kawasan parlimen itu atas permintaan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau menyerahkan kedudukannya sekarang kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohd Shariff, 65, pernah dilantik sebagai timbalan ketua menteri Pulau Pinang dari tahun 1995 hingga 1999. Sebelum itu beliau memegang jawatan Exco kerajaan negeri dari tahun 1982 hingga 1990. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain