suria

Rampas Premis Rumah Urut Haram - MB Selangor

SHAH ALAM: Pemilik premis rumah urut bakal berhadapan dengan tindakan tegas termasuk risiko hartanah dirampas sekiranya membenarkan premis mereka digunakan sebagai tempat operasi aktiviti berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tindakan merampas premis yang dijadikan tempat operasi rumah urut yang tidak sah itu boleh dilaksanakan berdasarkan undang-undang sedia ada.

Katanya kerajaan negeri memandang serius isu kewujudan rumah urut yang berleluasa di negeri itu dan memberi amaran bahawa risiko menjalankan perniagaan rumah urut haram tidak hanya akan ditanggung oleh pengendali malah pemilik premis.

"Kalau mereka langgar undang-undang, risiko mereka jalankan perniagaan dengan tidak betul akan meningkat. Bukan sahaja perniagaan itu akan disita tetapi bangunan atau hartanah itu juga akan dirampas.

"Jadi risiko untuk lakukan perniagaan ini mestilah di tangan semua pihak iaitu mereka yang menjalankan perniagaan dan yang memiliki hartanah," katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco di sini, Rabu.

Tambah Abdul Khalid, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) minggu depan bagi membincangkan mengenai kaedah pencegahan kewujudan rumah urut yang berleluasa di negeri itu termasuk di kawasan luar bandar.

Selain itu Abdul Khalid turut mengakui kerajaan negeri menghadapi masalah dalam penguatkuasaan undang-undang sedia ada dalam membanteras penularan rumah urut di Selangor.

"Isu besar yang dihadapi dalam pentadbiran kerajaan negeri ialah ruang pemisah antara polisi dan undang dalam pelaksanaannya.

"Kedua-dua perlu disatukan. Tak ada makna kalau kita buat polisi tapi ia tak dilaksanakan dengan baik," katanya.

Jumlah rumah urut yang semakin bertambah di Selangor membimbangkan banyak pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa pusat-pusat urut tumbuh bagai cendawan sehingga merebak ke kawasan penempatan setinggan sejak kebelakangan ini.

Menurut mereka, di kawasan Pandan Indah sahaja, terdapat lebih 80 pusat urut dan lebih 200 pusat urut beroperasi di Klang selain berpuluh-puluh lagi di Kuchai Lama, Damansara dan Ampang Jaya.

Sebuah akhbar berbahasa Melayu pada Selasa melaporkan bahawa di Kuala Selangor terdapat enam pusat urut beroperasi dalam satu kawasan perdagangan yang baru dibuka manakala pusat urut juga dibuka di kawasan luar bandar iaitu tiga di Sekinchan, Sungai Besar (dua) dan masing-masing satu di Sabak Bernam dan Tanjong Karang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain