suria

Poster Parti Politik Wajib Letak Nama Pencetak, Penerbit - SPR

PUTRAJAYA: Mesyuarat Panel Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Selasa memutuskan semua poster parti politik yang bertanding wajib meletakkan nama pencetak dan penerbit pada poster berslogan parti.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ia selaras penarikan balik Rang Undang-Undang (Pindaan) Akta Kesalahan Pilihan Raya baru-baru ini.

"Dulu diputuskan untuk tarik balik arahan itu, tetapi memandangkan pindaan ditarik balik, jadi SPR akan kuatkuasakannya semula," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju mewujudkan satu komuniti mengkaji kaedah pelaksanaannya agar mudah memberi kefahaman terutama kepada parti politik.

Antara pindaan yang diluluskan ketika itu ialah pindaan Seksyen 11(c) yang menyebabkan cetakan bahan pilihan raya tidak perlu disertakan nama dan alamat pencetak atau penerbit bahan tersebut.

Penarikan balik Rang Undang-Undang itu dipersetujui bersama oleh SPR, kerajaan dan pembangkang apabila mendapati proses pindaan itu merumitkan.

Rang Undang-Undang itu dibentang pada 9 April lepas bagi menambah baik proses pengundian, dan diluluskan Dewan Rakyat pada 19 April setelah dibahaskan Anggota Parlimen selama tujuh jam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain