suria

Polis Tahan Seorang Lelaki Dipercayai Peragut

JOHOR BARU: Hasil maklumat mangsa ragut, seorang lelaki dipercayai peragut ditahan polis di rumahnya di Jalan Mustika, Kampung Melayu Majidee, di sini Selasa.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata lelaki berumur 30 tahun itu ditahan selepas pengadu membuat laporan polis pada 2.30 pagi Selasa, mendakwa dia diragut dari arah belakang oleh seorang lelaki yang menaiki motosikal di Jalan Sutera, Taman Sentosa di sini.

"Hasil maklumat itu, polis kemudian menahan lelaki berkenaan di rumah tersebut dan menemui 263 karton rokok seludup, sebuah telefon bimbit, dua motosikal yang dileraikan, dua rangka enjin motosikal dan 76 kotak mercun," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini Rabu.

Mohd Mokhtar berkata lelaki itu dipercayai turut terlibat dengan kegiatan penyeludupan rokok dan siasatan mengenainya sedang dilakukan.

Beliau berkata suspek yang mempunyai rekod berkaitan dadah itu direman mulai hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata polis menahan enam lelaki rakyat Indonesia, Khamis lepas dipercayai terlibat dalam enam kes samun di sekitar daerah Kluang dan Segamat.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan dalam serbuan di rumah kongsi di Ladang Bukit Benut, Kluang, kira-kira pukul 3.30 pagi selepas polis bertindak daripada maklumat orang awam.

"Polis merampas tiga parang panjang, sebilah sabit, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama dan beberapa peralatan pecah rumah termasuk pemutar skru dan sarung tangan dalam serbuan berkenaan," katanya.

Katanya semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan kesemua mereka yang berumur 25 hingga 31 tahun kini direman sehingga 30 Mei depan untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain