suria

Polis Tahan Pembantu Rumah Indonesia Larikan Barang Kemas Majikan

PETALING JAYA: Polis pada Selasa menahan seorang pembantu rumah warga Indonesia dan menemui semula sebahagian daripada barang kemas yang dicuri dari rumah majikannya di Kelana Jaya.

Suspek yang berusia 29 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sebuah rumah di Kampung Melayu Subang, di sini kira-kira jam 6 petang sejurus menerima maklumat penduduk setempat yang mengecam wajah wanita Indonesia berkenaan selepas disiarkan oleh media.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Superitendan Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dalam bangunan.

Ketua Wanita Umno Wilayah Persekutuan Datuk Azizah Abdul Samad pada Isnin membuat laporan polis tentang pembantu rumahnya dari Indonesia yang baru 21 hari diambil bekerja melarikan diri bersama set barang kemas bernilai RM50,000.

Kejadian hanya disedari pada 3 petang selepas Azizah bersama anak perempuannya pulang daripada menghadiri mesyuarat di Negeri Sembilan dan mendapati pembantu rumahnya tiada di rumah, manakala bilik tidur berselerak.

Arjunaidi berkata, Azizah sudah dimaklumkan mengenai penahanan pembantu rumahnya itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain