suria

Peserta Ekspedisi Payung Terjun Kutub Utara 'Rahim King' Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Datuk Abdul Rahim Dahalan, yang pernah menyertai ekspedisi payung terjun di Kutub Utara pada 2007, meninggal dunia di kediaman adiknya di Kampung Tengah, Kluang, Johor pada 5.45 petang Rabu.

Adik Allahyarham, Ramlan Ibrahim memberitahu Bernama abangnya yang berusia 65 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di sisi anggota keluarga akibat sakit jantung.

Allahyarham, yang turut dikenali sebagai "Rahim King", pernah bertugas sebagai pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ramlan berkata jenazah abangnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah Kluang selepas solat Zohor esok.

Dr Mahathir dijangka menziarahi jenazah Abdul Rahim dan keluarga arwah kira-kira 10 pagi esok, kata Ramlan.

Beliau berkata jenazah akan ditempatkan di masjid berhampiran bagi membolehkan saudara-mara serta sahabat handai memberi penghormatan terakhir, dan urusan pengkebumian dibantu oleh Kementerian Pertahanan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain