suria

Penguat Kuasa Imigresen Didakwa Rasuah Berkaitan Program 6P

SUNGAI PETANI: Seorang anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Sungai Petani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada Selasa atas dua pertuduhan rasuah melibatkan wang tunai RM2,000 pada Ogos tahun lepas.

Ilias Ali, 52, didakwa menerima suapan itu daripada peniaga, Lee Jin Hup untuk membantu mendaftarkan dua orang warga China dalam Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (6P).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Unit Penguat Kuasa, Jabatan Imigresen, Wisma Keladi, Jalan Bank, di sini kira-kira pukul 11.20 pagi, 23 Ogos 2011.

Bagi pertuduhan pertama pegawai Gred KP22 itu didakwa menerima RM2,000 sebagai dorongan agar dua warga China, Cheng Qinyu dan Zhong Yulin yang pas lawatan mereka telah tamat tempoh didaftarkan dalam program 6P, sedangkan prosesnya adalah percuma.

Pertuduhan kedua, pertuduhan alternatif iaitu tertuduh didakwa menerima barang berharga berupa wang tunai berjumlah RM2,000 daripada Lee Jin Hup di tempat, tarikh, masa dan untuk tujuan sama.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, iaitu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 jika disabitkan kesalahan.

Untuk pertuduhan alternatif, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hakim, Mohammad Khalid Ab Karim membenarkan Ilias diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan perbicaraan pada 26 Jun depan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Fieza Fazlin manakala tertuduh diwakili peguam S.P. Raman. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain