suria

Pegawai DBKL Akan Hentikan Protes Bersih 4.0

KUALA LUMPUR: Pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini dalam keadaan bersedia untuk mengawal situasi di hadapan rumah Pengerusi Bersama Bersih Datuk S.Ambiga di Bukit Damansara bagi memastikan protes Bersih 4.0 tidak diteruskan.

Pada Isnin, pegawai-pegawai DBKL bertugas sehingga lewat malam untuk membersihkan garisan kuning yang dicat oleh Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kuala Lumpur bertujuan membuka petak perniagaan di sepanjang jalan di hadapan rumah Ambiga sebagai persiapan kepada protes tersebut.

Menerusi laman Twitternya, Ambiga berkata, "DBKL bekerja sehingga lewat malam untuk membersihkan garisan kuning. Polis turut memeriksa keadaan di sini. Amat menghargainya @PDRMsia dan DBKL.

Di sebelah petang, beliau dalam Twitternya berkata," Apabila pegawai bertindak secara adil tanpa rasa takut atau pilih kasih, rakyat akan menyokong mereka. Jika tidak, sebaliknya berlaku.

Polis menerusi Twitternya berkata," Terima kasih di atas komen itu. Kita perlu berada dalam keadaan selamat, aman dan harmoni. Penghargaan & terima kasih adalah untuk kebaikan bersama.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kuala Lumpur, Datuk Jamal Md. Yusuf berkata, 60 gerai akan dibuka di hadapan rumah Ambiga pada Khamis dan Jumaat untuk menuntut semula ganti rugi yang ditanggung pada perhimpunan Bersih 3.0.

Beliau menggelar aktiviti itu sebagai 'Bersih 4.0 - Mencucikan Bersih 1,2,3 dan akan memohon permit perniagaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, mereka akan meneruskan aktiviti penjualan barangan keperluan harian, makanan dan minuman bermula pukul 3.30 petang hingga 8 malam walaupun permit permohonan ditolak.

Difahamkan DBKL telahpun menolak permohonan mereka.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail dilaporkan tidak membenarkan sesiapa saja mencerobohi kawasan individu lain yang tertakluk di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Beliau menggesa kumpulan tersebut supaya menghentikan tindakan tersebut dan meminta mereka bersikap lebih produktif.

Ketika ketibaan pemberita, pegawai-pegawai DBKL sudah tidak kelihatan di kawasan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain