suria

PAS & Umno Wajib Muzakarah Demi Perpaduan Melayu, Islam

KUALA LUMPUR: Muzakarah yang dihasratkan pemimpin PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam termasuk Umno demi perpaduan orang Melayu dan memperteguhkan Islam, tidak boleh bersyarat kecuali keikhlasan dan kejujuran.

Walaupun idea muzakarah itu bukan baru, namun ia tetap menarik minat ramai khususnya orang Melayu dan umat Islam yang berpendapat percubaan meletakkan pelbagai syarat hanya bertujuan menggagalkan usaha itu dan hanya sebagai modal politik menjelang pilihan raya umum ke-13.

"Saya menyokong penuh idea bermuzakarah ini kerana ia diunjurkan Islam dan ia juga akan memberi impak positif kepada perpaduan Islam," kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia Fathul Bari Mat Jahaya.

Namun beliau juga kecewa dengan sikap PAS yang belum pun memulakan perbincangan telah meletakkan pelbagai syarat yang dilihat hanya akan menguntungkan parti itu dan menghukum seseorang itu tidak ikhlas.

"Pertamanya saya puji Umno sebab Umno terima cadangan untuk bermuzakarah dan saya puji PAS kerana mahu bermuzakarah. Tetapi saya kecewa, ada pemimpin tertinggi PAS boleh bermuzakarah, berbincang dengan ahli syiah tetapi tidak mahu bermuzakarah dengan ahli Sunnah wal Jamaah dengan alasan mereka melakukan maksiat.

"Adakah kalian tidak melakukan maksiat? Belum lagi bermuzakarah mereka dah bersangka buruk, baik tak payah keluarkan cadangan. Ini untuk apa? Adakah ia untuk retorik politik? Saya sungguh sedih dan kecewa," katanya.

Beliau tidak menolak bahawa muzakarah perlukan syarat dan syaratnya mestilah tidak dilihat demi kepentingan sebelah pihak atau sesebuah parti.

"Ingatlah, muzakarah ini bukan untuk menang, bukan untuk mencari keburukan, kena ada akhlak yang baik dan sanggup menerima kebenaran. Lantiklah moderator dalam kalangan ahli ilmu supaya perbincangan ini akan mendapat hasil keputusan yang baik," tambahnya.

Perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam di negara ini sekarang perlu dilihat secara serius kerana ia boleh mendorong pihak lain mengambil kesempatan dan menangguk di air yang keruh.

Oleh itu, banyak dalam kalangan orang awam berpendapat PAS wajib bermuzakarah dengan Umno demi masa depan, kuasa politik orang Melayu dan perpaduan orang Melayu serta bersama-sama memartabatkan agama Islam.

Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah di laman blognya, berkata umat Islam tidak perlu bersaing untuk 'menunjukkan kehebatan dan kekuatan' dalam perkara politik yang membawa perpecahan.

"Biarlah kita bersaing dalam perkara yang membawa kebaikan seperti kekuatan ekonomi, pendidikan dan mengembalikan semangat jihad.

"PAS dan Umno perlu membuang prasangka buruk antara satu sama lain. Sekarang ini adalah masa bekerja untuk Islam.

Berpolitiklah secara matang, buat perancangan dan rangka strategi dan lupakanlah yang lain-lain, termasuk dendam kesumat," katanya.

Bagi Felo Universiti Oxford, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berdialog, berbincang, berunding, cuba memahami antara satu sama lain adalah perlambangan manusia bertamadun.

"Kedua-dua parti besar itu mewakili rakyat kita, maka adalah patut untuk mereka menzahirkan manifestasi ketamadunan itu dalam bentuk mampu berbincang apabila ada keperluan," katanya dipetik dalam blognya DrMaza.com.

Bekas mufti Perlis itu berkata asasnya, perbincangan ke arah meredakan permusuhan sesama Muslim adalah ajaran Islam dan muzakarah itu tidak patut menjadi medan membahaskan kesalahan antara kedua parti kerana ruang itu sudah ada di Parlimen.

"Sebaliknya kedua-duanya hendaklah mencari 'common ground' antara kedua parti yang dapat memberikan kebaikan kepada rakyat dan negara. Hakikatnya, sesiapa yang mendekati kedua parti ini, banyak ruang dari sudut naluri insani Muslim yang sama ataupun hampir sama.

"Banyak hasrat dan cita-cita yang sama. Banyak rasa yang sama. Banyak duka dan suka yang sama," katanya.

Sementara itu, bekas Naib Presiden PAS Datuk Mohd Nakhaie Ahmad pula berkata beliau yakin dalam kalangan pemimpin PAS, hanya beberapa orang sahaja yang benar-benar mahu bermuzakarah dengan Umno manakala pemimpin yang lain dilihat cuba memberikan kenyataan bercanggah bertujuan untuk menggagalkan usaha itu.

Katanya selain kenyataan bercanggah, meletakkan syarat seperti Umno perlu ubah perlembagaan partinya juga dibuat supaya usaha bermuzakarah itu gagal dilaksanakan.

"Saya rasa Umno tak perlu layan. Dah berapa lama dah PAS ajak muzakarah, tetapi tak pernah terjadi. Lagipun PAS bukannya bersungguh-sungguh nak bermuzakarah dan ia dikeluarkan semula kerana sudah kehabisan modal," kata Pengerusi Pertubuhan Persahabatan Dakwah Global itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain