suria

MP Pembangkang Mahu Polis Siasat Cubaan Kacau Di Rumah Ambiga

KUALA LUMPUR: Kira-kira 10 Ahli Parlimen pembangkang pada Rabu akan membuat laporan meminta pihak polis menyiasat dakwaan usaha pihak tertentu yang cuba mencetuskan kekecohan di rumah Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendakwa pihaknya mendapat maklumat ahli Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa akan membuat kecoh di rumah Ambiga pada Khamis.

"Kita akan buat laporan polis secara berasingan di kawasan masing-masing. Kita minta pihak polis siasat dakwaan tersebut.

"Kita juga minta pihak polis hadir dan mengawal keadaan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.Kita dapat maklumat ada pihak tertentu cuba buat kecoh di rumah Ambiga," katanya kepada pemberita selepas hadir untuk menyatakan sokongan moral kepada Ambiga di rumahnya di Bukit Damansara pada Rabu.

Beliau berkata laporan polis tersebut akan dibuat pada hari ini.

Antara wakil rakyat yang hadir adalah, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng; Khalid Samad (Shah Alam), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Dr Tan Seng Giaw (Kepong), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Datuk Kamaruddin Jaafar (Tumpat),

Sementara itu Kamaruddin berkata kehadiran Ahli Pakatan Rakyat di rumah Pengerusi Bersih itu bagi menyatakan sokongan mereka terhadap perjuangan yang dibawa oleh jawatankuasa tersebut.

"Kita menolak tindakan jijik seperti senaman punggung dan membuka gerai burger di hadapan rumah Ambiga kerana ini jelas bertentangan dengan hukum Islam dan undang-undang negara.

"Kami juga sentiasa memperjuangkan hak asasi dan kebebasan bersuara serta menyokong sistem pilihan raya bersih dan adil. Kami ahli Parlimen dan parti dalam Pakatan Rakyat akan terus bersama-sama dengan Bersih," katanya.

Beliau berkata tindakan tersebut sangat memalukan serta ditolak oleh rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Kita minta pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang membuat kacau dengan menunjukkan perbuatan tidak senonoh bukan sahaja di rumah ini malah di mana-mana sahaja," katanya.

Dr Tan yang juga Timbalan Pengerusi DAP berkata semua tindakan yang melanggar undang-undang perlu segera dihentikan.

"Polis dan DBKL perlu mengambil tindakan yang berkesan bagi memastikan rumah Ambiga adalah selamat dan aman.

"Kita perlu hentikan segera tindakan seperti ini, walaupun pihak polis dan DBKL telah mengambil beberapa tindakan namun itu masih belum memadai, mereka perlu bertindak tegas dalam hal ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ambiga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak polis yang telah memberikan kawalan keselamatan yang sangat tinggi kepada beliau dan keluarganya serta pihak DBKL yang telah memadamkan tanda lot niaga depan rumahnya yang ditandakan kumpulan peniaga yang mendakwa mengalami kerugian ketika perhimpunan Bersih 3.0 diadakan 28 April lalu.

"Sebagai kredit, mereka (DBKL) berada di sini tanpa henti, begitu juga polis. Saya berterima kasih kerana memberikan perlindungan hingga ke tahap ini," katanya.

Ambiga menegaskan akan terus bersama orang ramai menuntut pilihan raya bersih dan adil dan mendesak pihak yang tidak selesa dengannya membawa perkara itu ke mahkamah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menerima kehadiran 10 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang datang untuk memberikan sokongan moral kepada beliau dan keluarganya yang menjadi sasaran pihak-pihak tertentu sejak dua minggu lalu.

Pada Selasa, Datuk Bandar Tan Sri Ahmad Fuad Ismail dilaporkan berkata berdasarkan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, seseorang itu tidak dibenar menceroboh kawasan orang lain, justeru kumpulan yang menggelar diri "Bersih 4.0" mesti batalkan hasrat mereka.

Majlis Bertindak Peniaga-Peniaga Kuala Lumpur (MBPKL) yang terdiri daripada 60 peniaga dilapor merancang mengadakan pasar malam di hadapan kediaman Ambiga bagi mengaut semula kerugian mereka akibat perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lepas.

Mereka telah pun menandakan tapak lot niaga untuk membuka gerai di depan rumah Ambiga dengan cat kuning.

Kumpulan itu juga dilapor akan tetap membuka gerai di kawasan terbabit jika permohonan permit mereka ditolak.

Minggu lalu, Persatuan Veteran Tentera Melayu Selangor dan Wilayah Persekutuan (PVTM) mengadakan demonstrasi di luar rumah Ambiga.

Kira-kira 10 ahli PVTM membuat senaman 'punggung' pada pukul 8.30 pagi sambil menggelarkan Ambiga dengan 'musuh negara' yang telah merosakkan imej Malaysia.

Ini merupakan demonstrasi kedua yang dibuat di rumah Ambiga.

Pada 10 Mei lalu, sekumpulan peniaga mengadakan 'protes burger' di luar rumahnya kerana kecewa pendapatan mereka didakwa mengalami kerugian kira-kira RM200,000 kerana Perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan, 28 April lalu .

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain