suria

Mahkamah Tinggi Tetap 11 Jun Keputusan Saman Umno Terhadap Guan Eng

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, pada Rabu, menetapkan 11 Jun bagi keputusan sama ada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman boleh meneruskan samannya terhadap Ketua Menteri negeri itu Lim Guan Eng dan tiga lagi.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah menetapkan demikian setelah mendengar hujah daripada semua pihak, berhubung bantahan peguam Karpal Singh yang mewakili Lim, bahawa Zainal Abidin tidak boleh mewakili Umno kerana tidak diisytiharkan secara rasmi.

Zainal Abidin yang diwakili peguam Datuk Jahaberdeen Mohamed Yonoos memfail saman itu pada 24 Okt 2011, dengan menamakan Lim yang juga Setiausaha DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) selaku pemilik laman berita elektronik Keadilan Daily, dan akhbar Suara Keadilan, Segmen Fleksibel Sdn Bhd yang merupakan syarikat penerbitan Keadilan Daily dan Suara Keadilan, serta ketua enyuntingnya, Fazallah Pit sebagai defendan.

Zainal Abidin menuntut ganti rugi RM30 juta, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah dan suatu injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada terus mengeluarkan atau menyiarkan kenyataan fitnah itu.

Ketika berhujah Karpal Singh berkata Zainal Abidin tidak mempunyai locus standi (kepentingan mencukupi) untuk memulakan saman terhadap defendan dan perbicaraan harus dihentikan kerana sepatutnya pegawai awam atau ahli, didaftarkan sebagai pihak yang boleh menyaman dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Jelas sekali prosiding ini tidak patut diteruskan. Kami harap keseluruhan prosiding ini dibatalkan," katanya.

Jahaberdeen pula berhujah bahawa Zainal Abidin mempunyai hak untuk mewakili Umno kerana beliau adalah pemegang jawatan di Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang.

Terdahulu, Zainal Abidin yang selesai memberi keterangan memberi penjelasan bahawa beliau hadir ke mahkamah bagi pihak Umno untuk mengambil tindakan terhadap Lim dan tiga lagi bagi mematuhi peruntukan Seksyen 9(C) Akta Pertubuhan 1966 yang memerlukan tindakan saman di atas nama pengerusi atau mana-mana pegawai berdaftar Umno.

Ketika ditanya peguam Latheefa Koya dalam pemeriksaan balas adakah beliau menerima sijil daripada Pendaftar Pertubuhan untuk memulakan saman, Zainal Abidin berkata:

"Tidak. Tetapi ada menerima surat." Bagaimanapun katanya pihak terbabit (pendaftar pertubuhan) tidak menyatakan nama beliau sebagai pihak yang boleh mewakili Umno. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain