suria

Mahkamah Tambah Hukuman Dua Lelaki Sebabkan Kematian Pelajar Korea

SHAH ALAM: Dua lelaki, yang didapati bersalah menyebabkan kematian seorang pelajar kolej warga Korea Selatan lima tahun lepas, terpaksa meringkuk lebih lama dalam penjara selepas Mahkamah Tinggi di sini menambah tempoh hukuman mereka.

Hakim Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhi Mahkamah Sesyen Petaling Jaya ke atas pembantu kedai Wong Kok Hoong, 40, dan penjaja Lau Mann Sing, 47.

Beliau memerintahkan setiap tertuduh menjalani hukuman penjara 20 tahun mulai Rabu.

Hakim Abdul Alim juga menolak permohonan peguam Hisham Teh Poh Teik untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu.

Terdahulu, rayuan kedua-dua tertuduh untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhi terhadap mereka oleh Mahkamah Sesyen turut ditolak.

Wong dan Lau didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Lim Jong Yong, 25, di sebatang jalan raya di depan Blok Kasih D'Aman Creamson Condominium, Petaling Jaya pada 10.30 malam, 25 Jun 2007.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain