suria

Kerugian Selepas Cukai Suku Pertama MAS Berkurangan Kepada RM171 Juta

KUALA LUMPUR: Keputusan perniagaan tegas yang diambil telah berjaya membantu Malaysia Airlines (MAS) mengurangkan kerugian selepas cukainya sebanyak 29 peratus kepada RM171 juta dalam suku pertama berakhir 31 Mac, 2012, daripada kerugian RM242 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas walaupun harga bahan api jet meningkat.

Meskipun harga bahan api jet berpurata US$135 setong dalam suku pertama daripada US$120 setong sebelumnya, pengurangan laluan yang tidak menguntungkan dan penggunaan pesawat baru yang lebih cekap dari segi bahan api telah membantu syarikat penerbangan negara itu mengurangkan kerugiannya.

Pendapatan kumpulan merosot kepada RM3.114 bilion berbanding RM3.190 bilion sementara perbelanjaan operasi secara keseluruhannya ialah RM3.42 bilion, sekali gus menjuruskan kepada MAS mencatatkan kerugian operasi RM307 juta untuk suku berkenaan, 10 peratus lebih rendah tahun atas tahun.

"Kami mampu mencapai kerugian bersih yang rendah untuk suku itu berbanding tahun sebelumnya kerana kami telah membuat beberapa keputusan yang amat tegas," kata ketua pegawai eksekutif, Ahmad Jauhari Yahya.

"Kami mengurangkan laluan yang tidak menguntungkan terutamanya yang jarak jauh di mana perolehannya amat sedikit. Ini membantu kami untuk memperbaiki dengan serta merta prestasi pendapatan untuk setiap kilometer tempat duduk yang ada tahun atas tahun," kata beliau dalam satu kenyataan pada Selasa.

"Di bahagian kos pula, kami telah merendahkan bil bahan api kami dengan penggunaan yang lebih baik hasil daripada pesawat baru yang cekap dari segi bahan api."

Ahmad Jauhari menambah yang pengurusan kos yang lebih baik turut dilihat untuk kos pelbagai bukan bahan api walaupun "kita pada masa ini masih belum mampu menangani kos tetapnya".

Sementara itu, perolehan penumpang meningkat 12 peratus sementara RASK naik lapan peratus.

Kapasiti penumpang susut lapan peratus ekoran perasionalisasi rangkaian yang membabitkan pengurangan 12 laluan dalam tempoh itu, katanya.

Fokus agresif kumpulan untuk mengukuhkan rangkaiannya telah mula menunjukkan hasil.

Bahagian kargo telah mencatatkan 15 peratus penurunan dalam hasil operasi untuk suku kajian kepada RM431.2 juta daripada tahun lepas berikutan pengurusan kapasiti yang proaktif.

Kapasiti berkurangan 19 peratus dengan perolehan menambah enam peratus.

Perbelanjaan operasi kumpulan untuk suku kajian ialah RM3.42 bilion, 3.1 peratus lebih rendah berbanding suku yang sama tahun lepas.

Bahan bakar kekal sebagai komponen terbesar pada 38 peratus bersamaaan dengan RM1.31 bilion, yang merupakan peningkatan RM142 juta, dibelanjakan untuk bahan api jet sahaja.

Kos pekerja pula naik tujuh peratus kepada RM591 juta untuk suku itu ekoran kenaikan gaji dan pelarasan menaik kepada struktur gaji hasil daripada perjanjian kolektif yang dimeterai dengan kesatuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain