suria

Bersih 3.0: Anwar, Azmin Didakwa

GAMBAR klip video Azmin dan Anwar yang didakwa memberi arahan kepada perusuh untuk merobohkan pagar halangan di Dataran Merdeka.
GAMBAR klip video Azmin dan Anwar yang didakwa memberi arahan kepada perusuh untuk merobohkan pagar halangan di Dataran Merdeka.
GAMBAR klip video Azmin dan Anwar yang didakwa memberi arahan kepada perusuh untuk merobohkan pagar halangan di Dataran Merdeka.

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali serta Ketua Cabang PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin didakwa di Mahkamah Seksyen di sini hari ini kerana menyertai protes jalanan yang menimbulkan kekecohan di ibu negara pada 28 April lepas.

Mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan juga pertuduhan kedua, iaitu bersubahat dengan Tangam Raju, Rajesh Kumar Gejinder dan Farhan Ibrahim dengan menghasut ketiga-tiga mereka membuka sekatan besi halangan di Jalan Raja, di sini, pada hari yang sama.

Mereka merupakan individu pertama didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman yang baru berkuatkuasa tahun ini. Ketiga-tiga mereka duduk di luar kandang kerana merupakan orang kena saman (OKS) dalam kes ini.

Bagi pertuduhan pertama yang dibacakan berasingan, mereka didakwa menyertai protes jalanan bagi maksud membantah perintah Mahkamah Majistret yang melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka serta amaran supaya tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa perhimpunan, antara 28 April hingga 1 Mei 2012.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 2.30 dan 3 petang pada 28 April, di sepanjang Jalan Tun Perak di sini.

Dakwaan itu mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh didenda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Selepas pertuduhan dibacakan, Anwar berkata: "Pertuduhan politik. Saya minta dibicarakan." Hakim Mahmud Abdullah membenarkan mereka diikat jamin masing-masing sebanyak RM500 dengan seorang penjamin.

Terdahulu Timbalan Pendakwa raya Abdul Wahab Mohamad menawarkan ketiga-tiga orang kena saman itu diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin atas alasan bagi memastikan kehadiran mereka di mahkamah.

"Memandangkan sekarang ini kita lihat apa yang terpapar di televisyen dan apa yang berlaku, jadi perlu jaminan supaya mereka hadir ke mahkamah," katanya.

Ketua peguam bela Anwar, Karpal Singh meminta mahkamah mengenakan bon peribadi terhadap anak guamnya kerana hujah beliau, ia kes yang mudah.

Seorang lagi peguam Anwar, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden berhujah, berdasarkan rekod Anwar dalam kes 1998 dan 1999, beliau tidak pernah gagal menghadiri kes beliau di mahkamah.

Bagi pertuduhan kedua, Anwar, Azmin dan Badrul Hisham atau dikenali sebagai Chegubard didakwa bersama dengan penyokong-penyokong "Gabungan Bersih dan Adil (Bersih 3.0)" yang masih bebas, dalam mencapai niat bersama, telah bersubahat dan menghasut Tangam, Rajesh Kumar dan Farhan mengingkari perintah Mahkamah Majistret yang dikeluarkan pada 26 April lepas, dan keingkaran itu mungkin menyebabkan rusuhan atau gaduh-gempur di kawasan itu.

Anwar, 64, Mohamed Azmin, 48 dan Badrul Hisham, 34, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Raja di sini, pukul 3 petang, 28 April lepas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga enam bulan, atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selepas pertuduhan dibacakan Anwar berkata, "saya mengaku tidak bersalah, buang masa mahkamah sahaja", yang kemudian disambut dengan ketawa oleh mereka yang hadir di dalam mahkamah.

Abdul Wahab menawarkan ketiga-tiga mereka diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin tetapi Karpal Singh memohon supaya anak guamnya dikenakan bon peribadi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain