suria

Tarikh Bicara Ahli Perniagaan Tipu Bekas Pengarah NFC Kekal Julai Depan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen akan meneruskan perbicaraan kes ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail, yang didakwa menipu bekas pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail sebanyak RM1.755 juta, pada 16 hingga 27 Julai depan.

Hakim Rozilah Salleh mengekalkan tarikh perbicaraan itu, yang ditetapkan sebelum ini, selepas diberitahu Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa bahawa surat representasi daripada pihak pembelaan untuk mengkaji semula pertuduhan terhadap Shamsubahrin ditolak oleh Jabatan Peguam Negara.

Pada 14 Mac lepas, pihak pembelaan yang diwakili peguam Zarina Ismail telah menghantar surat representasi itu supaya pihak pendakwaan mengkaji semula pertuduhan berkenaan.

Abdul Razak juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau memerlukan masa untuk mengemukakan beberapa dokumen kepada mahkamah berkaitan kes itu termasuk dokumen yang belum diterima daripada syarikat telekomunikasi.

Mahkamah juga menetapkan 12 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pada 30 Disember lepas, Shamsubahrin, 46, dituduh menipu Mohamad Salleh, yang kini merupakan pengerusi NFC, iaitu dengan sengaja menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat bertujuan memperdayakannya sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Shamsubahrin, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Resources Sdn Bhd, dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Bukit Tunku di sini pada 6 petang, 20 November tahun lepas.

Dia juga dituduh menipu Mohamad Salleh dengan memperdayakan beliau bagi menyerahkan cek bernilai RM1.755 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Solaris, Mont Kiara di sini antara 25 Nov dan 6 Dis tahun lepas.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain