suria

SPR Perkenal Simbol Baru

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperkenalkan 30 simbol yang lebih 'moden dan mesra' untuk dipilih dan digunakan oleh calon-calon bebas pada pilihan raya akan datang.

Suruhanjaya itu hanya mengekalkan tujuh daripada 20 pilihan simbol sedia ada.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pengenalan 23 simbol baru itu memenuhi kriteria agar ia lebih moden dan mesra.

Antara simbol yang digugurkan daripada senarai ialah kepala harimau, gunting, kasut, paip rokok, payung, ayam jantan, basikal, bas, traktor, mesin taip, layang-layang dan kelapa sawit.

"Kami gugurkan simbol-simbol tertentu kerana ia membawa konotasi negatif.

"Harimau mewakili maksud garang, kasut pula kelihatan kotor manakala gunting digunakan dalam peribahasa Melayu iaitu gunting dalam lipatan," katanya, sambil menambah simbol paip digugurkan kerana merokok membahayakan kesihatan.

Menurut beliau simbol basikal, traktor dan mesin taip digugurkan kerana mengikut peredaran zaman.

Sementara itu menurutnya simbol payung pula digugurkan kerana tidak adil untuk menghalang orang ramai membawa payung pada hari pengundian.

Simbol baru yang diperkenalkan ialah arnab, udang, burung, gajah, kuda, cincin, tali leher, dan cermin mata.

Simbol lain ialah beg, kemeja, motosikal, kereta, sampan, gelas, cawan, meja, rumah, televisyen, pen, bunga, cangkul dan pokok bagi menggantikan kelapa sawit.

Simbol lama yang dikekalkan dengan sedikit pembaharuan ialah buku, ikan, jam loceng, kerusi, kapal terbang, telefon dan kunci.

"Kita telah modenkan simbol telefon daripada jenis yang perlu didail kepada butang serta sejambak kunci kepada hanya satu kunci," kata Wan Ahmad.

Sementara itu Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata calon bebas perlu memilih simbol-simbol yang digazetkan suruhanjaya itu.

"Kami tidak benarkan mereka menggunakan simbol yang dicipta sendiri," katanya.

Artikel Lain