suria

Peniaga Warung Parah Ditikam Bapa Selepas Berselisih Faham

JOHOR BAHARU: Seorang peniaga warung cedera parah ditikam bapanya selepas berlaku perselisihan faham dalam kejadian di rumah mereka di Jalan Dahlia 19, Taman Dahlia, Tampoi, di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara, ACP Ruslan Hassan berkata mangsa Muhammad Afiq Zainuddin, 22, dipercayai ditikam di belakang badan dengan pisau pemotong sayur di dapur rumah itu, dalam insiden kira-kira pukul 10.30 malam.

"Pertengkaran dipercayai bermula di luar rumah selepas mangsa meminta bapanya seorang pengawal keselamatan mengalihkan kereta Perodua Alza milik bapanya yang diletakkan di ruang rumah jiran mereka.

"Pertengkaran kemudian berlarutan sehingga ke dalam rumah sebelum mangsa ditikam apabila bapanya naik angin," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Ruslan berkata Muhammad Afiq kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah di sini dan polis berjaya menahan suspek berumur 48 tahun, yang cuba melarikan diri selepas kejadian itu.

Katanya hasil siasatan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah dan kini ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan senjata berbahaya.

Sementara itu, bapa saudara mangsa Ibrahim Hassan, 50, berkata dia dan ibunya Khadijah Mohamed, 68, berada di dalam bilik di rumah berkenaan ketika kedua-dua beranak itu bertengkar.

"Mereka berdua, sebelum ini kerap berselisih faham. Muhammad Afiq dijaga oleh bapanya sejak 20 tahun lepas di rumah milik ibu saya ini selepas ibu bapanya bercerai," kata Ibrahim. - BERNAMA

Artikel Lain