suria

Kerajaan Rancang Sedia Peruntukan RM3 Bilion Luaskan Ladang Hutan Negara

JOHOR BAHARU: Kerajaan merancang untuk menyediakan peruntukan kewangan berjumlah RM3 bilion bagi meluaskan ladang hutan di negara ini bagi mencapai kawasan seluas 375,000 hektar menjelang tahun 2020, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata sehingga kini kerajaan telah memperuntukkan lebih RM600 juta bagi meluaskan tanaman ladang hutan yang merupakan antara langkah yang dilakukan kerajaan bagi program pembangunan ladang hutan.

"Ini akan memastikan sumber bahan mentah yang terjamin dan mampan. Produk- produk kayu adalah mesra alam dan mempunyai 'karbon footprint' yang rendah berbanding dengan lain-lain produk seperti besi, aluminium dan PVC.

"Ini akan menjadi tarikan utama apabila ianya dilengkapi dengan reka bentuk produk-produk kayu-kayan yang seiring dengan permintaan pengguna," katanya berucap pada majlis perasmian Galeri Glulam, di Jalan Tampoi, di sini, Selasa.

Hadir sama, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok dan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

Muhyiddin berkata industri perkayuan merupakan salah satu sektor ekonomi yang penting kepada negara dengan menyumbang nilai eksport sebanyak RM20 bilion yang merupakan 14.1 peratus daripada jumlah eksport produk-produk komoditi yang bernilai RM141.2 bilion, tahun lepas.

Beliau berkata industri berkenaan pada puratanya telah menjana pendapatan eksport tahunan sebanyak RM21.7 bilion bagi tempoh 2006 hingga 2010 dan telah menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir 300,000 orang.

Katanya, perabot merupakan produk utama yang dieksport di kalangan produk-produk kayu tahun lepas dengan nilai eksportnya adalah RM6.5 bilion, iaitu 32.5 peratus daripada keseluruhan eksport produk-produk kayu.

"Malaysia merupakan pengeksport perabot kelapan terbesar di dunia dan di kalangan negara-negara Asia, kita (Malaysia) merupakan pengeksport ketiga terbesar. Saya berharap Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan meneruskan usaha untuk memperkasa lagi daya saing industri perkayuan negara melalui pengeluaran lebih banyak produk-produk perkayuan yang bernilai tinggi dan mengukuhkan lagi pasaran eksport," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau yakin pengwujudan Dasar Perindustrian Kayu Negara (NATIP) juga dapat mempertingkatkan pembangunan industri perkayuan negara bagi mencapai sasaran eksport sebanyak RM53 bilion menjelang tahun 2020.

Sementara itu, mengenai pembinaan galeri yang menjadi pusat promosi perkayuan negara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata ia merupakan pelaburan jangka panjang bagi memastikan kelestarian industri kayu di negara ini dalam pelbagai aspek yang merangkumi inovasi kejuruteraan kayu serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Beliau berkata pembinaan galeri menggunakan struktur bangunan berteknologi "glue-laminated timber" (glulam) itu bertepatan dengan saranan kerajaan supaya rakyat negara ini kreatif dan inovatif selain selaras dengan kehendak kerajaan yang menetapkan sekurang-kurangnya 70 peratus skor Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi mana-mana projek pembangunan fizikal kerajaan.

Katanya, bangunan itu juga amat istimewa apabila tersenarai dalam buku The Malaysia Book of Records sebagai bangunan pertama di Malaysia yang menggunakan kayu tropika dengan teknologi glulam.

"Saya gembira bila dimaklumkan dua projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya khususnya pengubahsuaian lobi di bangunan Parlimen serta projek Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Cyberjaya yang bernilai RM50 juta akan turut menggunakan teknologi glulam.

"Saya difahamkan apabila galeri ini berfungsi sepenuhnya kelak, ia akan menjadi pusat rujukan dan pelantar maklumat mengenai pembangunan industri kayu dan dilengkapi dengan peralatan terkini bagi mengasah bakat jurureka muda untuk berkarya di bawah Program Transformasi Reka Bentuk Perabot," katanya. BERNAMA

Artikel Lain