suria

Kaji Kesan Krisis Zon Euro Ke Atas Ekonomi Malaysia - Ahmad Husni

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, menyarankan supaya diadakan satu kajian mengenai kesan krisis hutang zon euro ke atas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Beliau berkata, perkembangan semasa dunia memerlukan kajian.

"Meskipun pertumbuhan ekonomi empat hingga lima peratus diramalkan bagi tahun ini, namun kadar itu masih kukuh memandangkan krisis ekonomi yang berlaku di dunia pada masa ini.

"Kita masih menumpukan sasaran kita pada lima peratus tahun ini," katanya kepada pemberita semasa upacara menandatangani memorandum persefahaman antara MIMOS Bhd dan REDtone Telecommunications Sdn Bhd.

Beliau berkata, unjuran pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus hingga tujuh peratus yang dibuat sebelum ini sukar dicapai.

Ahmad Husni berkata, meskipun kelembapan pertumbuhan ekonomi di China akan menjejaskan perdagangan, namun "kita bernasib baik kerana kita berdagang dengan negara-negara lain. Lima tahun dulu, Amerika Syarikat adalah rakan dagang utama kita, tetapi kita telah mengalihkan perdagangan kita ke Asia."

Beliau juga menegaskan tentang perlunya Malaysia meningkatkan inovasi dan kreativitinya.

"Perbelanjaan R&D sebagai satu peratusan KDNK adalah kurang daripada satu peratus. Bagaimanapun, di negara-negara maju, R&D merupakan kira-kira empat hingga lima peratus KDNK," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain