suria

Datuk Bandar KL Kata 'Tidak' Kepada Bersih 4.0

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBK) tidak akan memberi kebenaran kepada kumpulan peniaga yang mahu membuka pasar malam di hadapan kediaman Pengerusi Bersama Bersih Datuk S. Ambiga di Bukit Damansara di sini, pada Khamis dan Jumaat ini.

Datuk Bandar Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata berdasarkan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, seseorang itu tidak dibenar menceroboh kawasan orang lain, justeru kumpulan yang menggelar diri "Bersih 4.0" mesti batalkan hasrat mereka.

"Mereka mesti memohon kebenaran kami tetapi kami tidak akan benarkan. Orang buat silap...kita jangan ikut. Kalau semua orang ikut buat salah dan tidak endahkan undang-undang apa akan jadi kepada negara kita," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sayap baharu Hotel Impiana KLCC, di sini, Isnin.

Semalam, sekumpulan 60 peniaga dilapor merancang mengadakan pasar malam di hadapan kediaman Ambiga bagi mengaut semula kerugian mereka akibat perhimpunan anjuran Ambiga dan disokong pembangkang di ibu kota pada 28 April lepas.

Kumpulan itu juga dilapor akan tetap membuka gerai di kawasan terbabit jika permohonan permit mereka ditolak.

Mengulas lanjut, Ahmad Fuad berkata rakyat harus berhenti berbuat demikian kerana setiap kali perhimpunan berlangsung, DBKL terpaksa mengeluarkan belanja besar selain mengalih tumpuan daripada perkara lebih penting.

"Majoriti penduduk di Kuala Lumpur tidak mahu diganggu. Kita dikenali sebagai sebuah negara aman, mengapa nak buat perkara negatif?" katanya. - BERNAMA

Artikel Lain