suria

Umno Bukan Parti Provokatif - Saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes saman malu yang difailkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng, Isnin, diberitahu bahawa Umno bukanlah parti bersifat provokatif.

Zainal Abidin, 52, ketika disoal balas oleh Peguam Jagdeep Singh Deo yang mewakili Lim berkata Umno juga bukanlah parti yang mempunyai niat jahat terhadap kerajaan negeri di bawah pimpinan DAP.

Beliau sebelum itu menafikan apa yang ditulis oleh wartawan Malaysian Insider Clara Chooi Ai Leng mengenai kejadian cubaan membakar pejabat DAP akibat isu pembacaan Al Quran sebelum azan subuh pada 18 Ogos tahun lepas.

Zainal Abidin yang dinamakan sebagai plaintif bagi pihak Umno Pulau Pinang berkata beliau hanya mengetahui dakwaan Lim mengenai perkara itu (isu membakar pejabat) menerusi akhbar.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa kenyataan yang dikeluarkan Lim itu telah menimbulkan kegelisahan dan kemarahan orang Islam.

Ditanya Jagdeep sama ada beliau bersetuju bahawa Lim tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang didakwa fitnah itu kepada Clara, Zainal Abidin berkata:

"Tidak tahu. Saya tidak berada di situ."

Menerusi pernyataan saksi, Zainal Abidin berkata Lim mengeluarkan kenyataan fitnah ketika ditemubual oleh Clara di hadapan wartawan lain pada 18 Ogos tahun lepas sejurus selepas mesyuarat Majlis Kewangan Kebangsaan.

Katanya, Lim mendakwa Umno terbabit dalam cubaan membakar premis DAP Pulau Pinang.

Sementara itu, peguam Karpal Singh yang turut mewakili Lim membantah permohonan Zainal Abidin yang meletakkan dirinya sebagai wakil Umno.

Bantahan Karpal itu timbul selepas Zainal Abidin memberi jawapan terhadap soalan balas peguam Latheefa Koya bahawa dirinya tidak diisytiharkan secara rasmi oleh Umno untuk memulakan tindakan saman.

Berikutan itu Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah menetapkan Rabu ini untuk hujahan kedua-dua pihak sama ada saman ini boleh diteruskan ataupun tidak.

Zainal Abidin yang diwakili peguam Datuk Jahaberdeen Mohamed Yonoos memfail saman itu pada 24 Okt 2011, dengan menamakan Lim yang juga setiausaha DAP, Parti Keadilan Rakyat selaku pemilik laman berita elektronik Keadilan Daily dan akhbar Suara Keadilan, Segmen Fleksibel Sdn Bhd, yang merupakan syarikat penerbitan Keadilan Daily dan Suara Keadilan, serta ketua penyuntingnya, Fazallah Pit sebagai defendan.

Zainal Abidin menuntut ganti rugi RM30 juta, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah dan suatu injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada terus mengeluarkan atau menyiarkan kenyataan fitnah itu. - BERNAMA

Artikel Lain