suria

Polis Tahan Penagih Dadah Bersama Pistol Tiruan

TEMERLOH: Seorang lelaki yang disyaki penagih dadah ditahan dan polis merampas sepucuk pistol tiruan bersama beberapa peluru besi dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Semantan Indah, Mentakab, dekat sini, petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Noor Mansor berkata serbuan pada pukul 3.30 petang itu adalah hasil maklumat orang awam mengenai kegiatan lelaki terbabit yang dipercayai menjadikan bilik sewanya di rumah itu sebagai tempat melepaskan gian.

Beliau berkata lelaki berusia 29 tahun itu berasal dari Kampung Keting Gunong, Bachok, Kelantan dan ketika serbuan dibuat, lelaki terbabit dalam keadaan khayal.

"Hasil pemeriksaan dalam bilik sewa itu, kami menemui satu paket plastik mengandungi daun kering dipercayai ganja seberat 0.65 gram bersama satu paket plastik syabu seberat 0.78 gram.

"Pistol tiruan bersama beberapa biji peluru besi itu pula ditemui dalam beg pinggang milik suspek," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata lelaki itu ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya Pindaan 1952 dan Seksyen 30 (1) Akta Senjata Api. - BERNAMA

Artikel Lain