suria

Polis Melaka Buru Dua Lelaki Berhubung Kes Tipu Beli Tanah

MELAKA: Polis Melaka sedang memburu dua lelaki bagi membantu siasatan kes penipuan pembelian tanah membabitkan kerugian berjumlah RM179,000 di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Melaka Supt Soh Hock Sing berkata mereka dikenali Josepher Belitang, 25 dan Rayong Bulan Lagi, 44, dari Sarawak.

Kedua-dua mereka disyaki aktif melakukan kegiatan itu bersama empat lagi dan mensasarkan peniaga serta pesara, katanya pada sidang media, di sini, Isnin.

Beliau berkata polis telah menerima lima laporan berkenaan kegiatan kumpulan itu bagi tempoh 4 Dis 2011 hingga 25 April lalu, membabitkan mangsa berusia antara 50 dan 53 tahun.

"Pada awalnya suspek menggunakan taktik untuk menyewa tanah mangsa bagi tujuan menjalankan projek kabel elektrik atau pembekalan makanan yang sebenarnya tidak wujud.

"Suspek kemudian memujuk mangsa membuat pelaburan dengan berkongsi membeli tanah di kawasan tertentu yang mempunyai nilai tinggi pada harga murah," katanya.

Beliau berkata mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudian menyerahkan wang secara tunai mengikut jumlah yang ditetapkan suspek.

Kes terbaharu melibatkan peniaga di medan selera di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di sini, yang kerugian RM15,000 selepas diperdaya suspek yang datang ke kedai mangsa pada 19 April lepas dan menawarkan urusan pembelian tanah terbabit.

"Mangsa terpedaya kerana ketika menawarkan perkongsian tersebut suspek membawa rakannya yang didakwa seorang 'Datuk' sehingga mangsa menyerahkan wang ketika pertemuan kali kedua mereka pada 25 April lepas," katanya.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kedua-dua lelaki terbabit menghubungi polis di talian 06-2854222 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka. - BERNAMA

Artikel Lain