suria

PM Lancar Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia - Jepun 1 Jun

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melancarkan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) di sini, 1 Jun ini.

Duta Jepun ke Malaysia Shigeru Nakamura berkata MJIIT yang terletak di kampus antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia di Jalan Semarak di sini, menawarkan empat program ijazah dan lepasan ijazah kepada penuntut Malaysia.

Program itu ialah Kejuruteraan Sistem Elektronik, Kejuruteraan Mekanikal Kejituan, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar serta Pengurusan Teknologi dan Perniagaan.

"MJIIT memulakan sesinya pada September tahun lepas dengan kemasukan 100 pelajar. Enam profesor Jepun kini sedang mengajar di institut berkenaan dan dalam masa dua atau tiga tahun, kami bercadang untuk mempunyai lebih 30 lagi profesor Jepun untuk mengajar di MJIIT," katanya semasa taklimat media di kediamannya di sini.

MJIIT ialah sebuah institusi akademik yang ditubuhkan di bawah Universiti Teknologi Malaysia bagi memperkenalkan pendidikan kejuruteraan Jepun berdasarkan perjanjian antara ketua negara dari Jepun dan Malaysia pada April 2010 manakala projek itu telah diluluskan pada Mei 2010.

Mengenai pelancongan, Nakamura berkata Jepun mengalu-alukan kemasukan berterusan pelancong dari Malaysia selepas kejadian gempa bumi dan tsunami yang berlaku tahun lepas.

"Jumlah pelancong Malaysia semakin meningkat kini dan kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia melancong ke Jepun," katanya.

Beliau berkata kerajaan Jepun telah mewujudkan beberapa program selepas tsunami untuk mendapatkan kepercayaan masyarakat di seluruh dunia dan menarik minat pelancong untuk merasai dan menyaksikan projek pemulihan yang telah dilaksanakan oleh mereka.

Antaranya ialah program pertukaran pelajar dan belia di bawah projek 'Kizuna' yang dinamakan Program Jenesys yang bermatlamat untuk membawa 350 belia Malaysia ke Jepun, mulai Julai tahun ini.

"Diharapkan belia-belia ini kemudiannya akan menyebarkan maklumat kepada rakyat Malaysia yang lain dan menyakinkan mereka bahawa ia adalah selamat untuk berkunjung ke Jepun," katanya.

Nakamura berkata Kementerian Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Jepun baru-baru ini, menjemput 10 pelajar universiti dari Malaysia melawat Jepun untuk menjalankan kajian dan menyediakan laporan mengenai keadaan semasa di negara itu.

"Kerajaan Jepun bekerja keras untuk menyebarkan maklumat mengenai proses pemulihan dan pembinaan semula di Jepun selepas bencana tsunami bagi mendapatkan kepercayaan dan menarik semula pelancong terutama dari Malaysia untuk berkunjung ke Jepun," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain