suria

Pelajar Perempuan 15 Tahun Ditahan Ketika Sedang Ambil Pertaruhan Judi

KUALA KUBU BAHARU: Seorang remaja perempuan berumur 15 tahun adalah antara sembilan orang yang ditahan ketika polis membuat serbuan ke atas empat premis di Hulu Bernam di sini yang menjalankan kegiatan perjudian tanpa lesen.

Pegawai Turus Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor DSP Rohan Shah Ahmad berkata pelajar perempuan itu sedang mengambil pertaruhan judi loteri daripada pelanggan ketika serbuan itu yang dilakukan secara serentak.

Beliau berkata keempat-empat premis itu yang terletak bersebelan antara satu sama lain berselindung di sebalik kedai gambar, kedai pancing, kedai telefon bimbit dan kedai kopi untuk mengabui pihak berkuasa.

"Selain remaja perempuan itu polis turut memberkas lapan yang lain yang berumur antara 20 dan 59 tahun yang merupakan pelanggan serta anggota sindiket perjudian.

"Kejayaan membongkar kegiatan itu adalah hasil risikan yang anggota kita jalankan selama seminggu dan sindiket perjudian itu dipercayai telah beroperasi sejak dua tahun lalu," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan itu.

Beliau berkata serbuan selama dua jam itu yang bermula dari pukul 6.30 petang hingga 8.30 malam disertai oleh empat pegawai dan 16 anggota polis dari IPK Selangor dan IPD Hulu Selangor.

Rohan Shah berkata kesemua suspek kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka. - BERNAMA

Artikel Lain