suria

Majlis Peguam Sedia Jalin Kerjasama Dengan Semua Pihak Demi Keadilan

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia menyambut baik penjelasan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan tidak bercadang menubuhkan sebuah badan alternatif untuk mengambil alih fungsi Majlis Peguam.

Presidennya, Lim Chee Wee berkata Majlis Peguam bertanggungjawab dalam tugasnya untuk menegakkan keadilan, justeru mereka menyuarakan pandangan mengenai undang-undang dan polisi, selain bekerjasama dengan kerajaan, pembangkang serta masyarakat madani.

"Kami mengkritik kerajaan dan pembangkang jika perlu dan bekerjasama dengan masyarakat madani apabila sesuai. Kami bukan antikerajaan atau propembangkang tetapi sekadar melakukan apa yang harus dan mesti dilakukan, iaitu menegakkan keadilan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pada Khamis, Muhyiddin berkata pemimpin Majlis Peguam mesti lebih bertanggungjawab serta telus dan mereka perlu membuktikan bahawa ia tidak berat sebelah.

Lee berkata Majlis Peguam juga terlibat dalam aktiviti berkaitan tadbir urus negara namun tidak terlibat dalam perebutan kuasa politik.

"Oleh itu, sebarang dakwaan bahawa Majlis Peguam terlibat dalam kancah politik adalah tidak berasas," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain