suria

Lelaki Menyamar Polis Ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang disyaki menyamar sebagai anggota polis ditahan selepas cuba melarikan diri ketika hendak diperiksa dua anggota polis di Jalan Durian, Taman Cheras dekat sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh berkata kejadian berlaku pada pukul 3 pagi ketika dua anggota polis yang melakukan rondaan menggunakan sebuah MPV cuba mendekati sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna putih yang dinaiki suspek yang berada di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika cuba mendekati kenderaan dinaiki suspek berumur 35 tahun itu, dia terus memecut laju kenderaannya sehingga memaksa anggota polis mengejarnya sehingga ke Jalan Connaught, Cheras.

"Mungkin panik dengan keadaan itu, kereta suspek terbabas di tepi jalan di satu persimpangan dan dua anggota polis berkenaan dengan pantas menghampiri kereta suspek," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Mohan berkata polis kemudian menahan lelaki terbabit yang memakai pakaian seragam polis dengan sepasang gari diselitkan di pinggangnya.

Hasil pemeriksaan ke atas kereta itu, polis menemui 10 topi berwarna biru gelap dengan logo Ranger Khas Malaysia, enam helai baju merah dan dua helai baju biru berlogo sama, dua kotak berisi gari dan satu kad keahlian Rangers Khas Malaysia.

Mohan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai anggota polis dan suspek yang ditahan reman sehingga esok, akan didakwa di mahkamah.

"Kita sedang menyiasat penglibatan suspek dalam aktiviti jenayah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain