suria

Lelaki Maut Ditetak & Ditembak Dua Lelaki Tidak Dikenali

SITIAWAN: Seorang lelaki maut selepas ditetak dan ditembak oleh dua lelaki yang tidak dikenali di hadapan rumahnya di Kampung Tun Sambathan, Ayer Tawar di sini malam Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung DSP Ahmad Mat Isa berkata, kejadian itu dilaporkan oleh orang awam dan apabila polis sampai ke tempat kejadian mendapati mayat mangsa S.Nachiemuthu, 40, terbaring dengan kesan tetakan di bahagian kepala, manakala tiga kesan tembakan di dada, dahi dan kaki.

Kejadian berlaku pada pukul 11.30 malam apabila mangsa baru pulang dari pekan Sitiwan ke rumahnya telah dihampiri oleh dua lelaki yang tidak dikenali.

"Mangsa yang keluar dari kereta kemudian diserang oleh dua lelaki tersebut dengan bersenjatakan sebilah parang", katanya ketika dihubungi Isnin.

Ahmad berkata, mangsa kemudian cuba melarikan diri dengan menaiki keretanya tetapi seorang daripada dua lelaki itu mengeluarkan sepucuk pistol lalu melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa.

Mangsa yang mengalami cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat, katanya.

Kedua-dua lelaki itu kemudian melarikan diri dengan sebuah Honda.

Polis meminta orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di telefon 05-6899222 untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain