suria

Guru Bertugas Di Jabatan Juga Akan Nikmati Kenaikan Pangkat - NUTP

GEORGE TOWN: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pada Isnin menyangkal dakwaan guru yang dipindah bertugas ke jabatan pelajaran negeri serta pejabat pelajaran daerah dipinggirkan daripada kenaikan pangkat.

Sebaliknya kata Presiden kesatuan Hashim Adnan, NUTP sudah menghantar kertas kerja kepada Kementerian Pelajaran, menyarankan agar guru terbabit turut dipertimbang untuk kenaikan pangkat.

"Memang kementerian beri keutamaan kepada mereka yang mengajar di sekolah dahulu tetapi ia tidak bermakna mereka yang bertugas di jabatan pelajaran negeri dan pejabat pelajaran daerah di pinggirkan, beri sedikit masa dan kami tetap akan bela nasib mereka ini," katanya.

Beliau diminta mengulas keluhan sekumpulan guru di sini Ahad, yang mendakwa mereka kini dianak tirikan dari segi kenaikan pangkat setelah dipindah bertugas ke pejabat pelajaran, selepas menjadi penolong kanan sekolah yang cemerlang.

Mengulas lanjut, Hashim berkata NUTP menyedari masalah itu dan menganggap kelompok terbabit masih lagi guru dan akan menerima hak yang sama dengan guru di sekolah.

"...mereka merupakan guru yang cemerlang, oleh itu terpilih untuk kenaikan pangkat dan bertugas di jabatan, jangan risau tentang kenaikan pangkat yang diumumkan baru-baru ini," katanya.

Pada sambutan Hari Guru 16 Mei lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan seramai 24,053 guru yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat, mulai 1 Jun hingga 31 Disember ini.

Kumpulan itu merangkumi 8,222 guru lepasan ijazah dan 15,831 lepasan diploma. - BERNAMA

Artikel Lain