suria

Dana Khas Bantu Golongan Miskin Bayar Sewa PPR

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah bersetuju mewujudkan satu dana khas bagi membantu golongan miskin yang tidak mampu membayar sewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta mempunyai tunggakan yang tinggi.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata dana ini diwujudkan sebagai bukti keprihatinan serta keikhlasan kerajaan demi kebajikan rakyat yang kurang berkemampuan di negara ini.

"Dana ini akan menggunakan 10 peratus daripada hasil jualan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (PA-DBKL) dan PPR Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR-MTEN) yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini.

"Sehingga 30 April lepas, hasil jualan daripada 5,580 unit rumah bernilai kira-kira RM173 juta (10 peratus) boleh digunakan untuk dana ini," katanya ketika merasmikan Klinik 1Malaysia dan Program Kehidupan Murni 2012 di Desa Tun Razak di sini, Ahad.

Sehubungan itu, Raja Nong Chik menyeru penghuni yang layak supaya mendaftar dengan e-kasih bagi memastikan dana ini sampai kepada mereka yang memenuhi kriteria yang ditetapkan serta layak menerimanya.

"DBKL sedang melakukan semakan bagi menentukan penghuni yang layak menerima dana khas ini dan saya difahamkan DBKL juga membuka kaunter pendaftaran e-kasih sepanjang program ini berlangsung.

"Bagi yang tidak berkesempatan untuk mendaftar, mereka bolehlah mendapatkan borang pendaftaran e-kasih di mana-mana pejabat kecil PA-DBKL di 11 kawasan Parlimen Kuala Lumpur," katanya.

Menurut Raja Nong Chik, antara kriteria yang melayakkan penghuni PPR menerima dana ini adalah isi rumah yang tiada pendapatan tetap atau mempunyai pendapatan bulanan kurang daripada RM1,500 dan mempunyai tanggungan, orang kurang upaya (OKU), warga emas yang tiada pendapatan serta penyewa yang menerima bantuan sara diri tetapi tidak menerima bantuan sewa rumah.

"Berdasarkan semakan, terdapat sejumlah 3,346 penyewa PPR dan PA-DBKL mempunyai tunggakan sewa berjumlah kira-kira RM3 juta," katanya.

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata langkah proaktif seperti melaksanakan audit kerosakan telah dilaksanakan bagi memastikan aspek penyelenggaraan PPR dan PA-DBKL tidak terkecuali.

Menurutnya audit kerosakan perlu dilaksanakan untuk semua kawasan perumahan PPR dan PA-DBKL meliputi kerosakan di luar unit atau di dalam rumah masing-masing tanpa perlu menunggu aduan daripada penghuni atau persatuan penduduk.

"Saya dimaklumkan audit tersebut berjaya dilaksanakan oleh Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL secara serentak pada Mac lepas melibatkan 76 kawasan PPR dan PA-BDKL," katanya.

Beliau berkata berdasarkan maklumat kerosakan dalam unit rumah yang dikumpulkan sepanjang bulan lepas, dianggarkan sejumlah RM102.1 juta akan dibelanjakan bagi kerja-kerja baik pulih merangkumi skop kerja awam (RM57.6 juta), mekanikal (RM29.6 juta dan elektrik (RM14.9 juta).

"Beberapa langkah telah diambil bagi mempercepatkan kerja pembaikan ini termasuklah menambah siling serta melanjutkan tempoh kontraktor sedia ada dan pelantikan kontraktor baru melalui tender terbuka secara 'fast-track'," katanya.

Beliau berjanji kesemua kerosakan tersebut akan dapat diatasi dalam masa enam bulan serta meminta penghuni agar menjaga semua kemudahan yang telah disediakan kerana kerajaan tidak mampu untuk membaik pulih dari semasa ke semasa jika kerosakan sering berlaku. BERNAMA

Artikel Lain