suria

Soi Lek Persoal Hasrat Nik Aziz Muzakarah Dengan Umno

KLANG: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mempersoalkan sama ada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mendapat persetujuan daripada rakannya dalam pakatan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk mengadakan muzakarah dengan Umno.

Beliau berkata, difahamkan pakatan pembangkang mempunyai satu ketetapan bahawa mana-mana dasar yang tidak dipersetujui bersama, tidak boleh menjadi dasar pakatan itu.

"Saya nak tanya adakah dia (Nik Aziz) dapat persetujuan daripada DAP dan PKR. Kalau tiada, ini bermakna kita tidak boleh pegang kepada apa yang diisytiharkan oleh pakatan pembangkang itu.

"Mereka akan berubah-ubah dengan harapan dapat meraih sokongan daripada rakyat," katanya pada majlis perjumpaan bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) di sini Ahad.

Beliau turut mempersoalkan bahawa jika tiada persetujuan daripada DAP dan PKR, adakah hasil muzakarah antara PAS dan Umno itu boleh diterima oleh anggota lain dalam pakatan itu nanti.

Mengenai peletakan jawatan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim sebagai Naib Pengerusi DAP, Dr Chua berkata beliau terkejut dengan tindakan Tunku Aziz yang mengambil masa lama untuk memahami DAP dan beliau seharusnya melihat perjuangan parti itu terlebih dahulu sebelum menyertainya.

Beliau berkata DAP lebih bergantung kepada undi kaum Cina walaupun mendakwa ia adalah sebuah parti yang majmuk.

"DAP suka membidas Umno dan Barisan Nasional untuk segala isu yang melanda negara kita termasuk isu yang dicetuskan oleh DAP tetapi kalau kita perhatikan tidak ada calon DAP berani bertanding dengan Umno," katanya.

Justeru, Dr Chua berharap rakyat mengambil iktibar daripada pengalaman Tunku Abdul Aziz dan apa yang diperkatakan beliau bahawa transformasi yang dilaksanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah lebih baik daripada demonstrasi.

Mengulas perkara lain, beliau berkata selepas dua hari MCA menjelajah kawasan Sepang dan Banting, banyak aduan yang diterima daripada rakyat adalah berhubung janji kerajaan pakatan pembangkang yang masih tidak ditepati seperti projek tebatan banjir dan menaik taraf sistem perparitan di Klang.

"Rakyat juga mengadu tentang kos pembinaan rumah meningkat secara mendadak ekoran kadar premium yang terlalu tinggi.

"Semalam, saya hadiri jamuan, ada seorang pemaju mengadu dahulu untuk lima ekar (dua hektar) dia bayar RM80,000 (untuk premium) tetapi hari ini dia bayar RM800,000... sepuluh kali ganda," katanya. BERNAMA

Artikel Lain