suria

Salang Ingatkan Penduduk Luar Bandar Supaya Tolak Politik Wang

JULAU: Anggota Parlimen Julau Datuk Joseph Salang mengingatkan penduduk luar bandar supaya menolak politik wang pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya beliau difahamkan ada individu merancang untuk melaburkan banyak wang untuk membeli undi pada pilihan raya umum akan datang untuk menjatuhkan penyandang-penyandang Barisan Nasional (BN), khususnya dari Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Pemberi dan penerima wang itu berdepan hukuman jika disabitkan dengan kesalahan itu, katanya semasa merasmikan majlis kesyukuran di rumah panjang Rh Laman di Nanga Nyuyau di sini dan dua lagi rumah panjang di kawasan itu malam semalam.

Salang, yang juga Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan berkata individu yang menggunakan wang untuk memenangi pilihan raya akan mengabaikan pengundi kemudiannya dengan memberikan alasan yang mereka telah dibayar lebih awal.

Beliau juga berkata wakil rakyat pembangkang tidak mempunyai keupayaan atau sumber untuk melaksanakan projek dan program pembangunan sama ada yang besar atau kecil.

Mengenai cubaan berterusan oleh ahli politik setempat tertentu untuk mencemarkan nama baiknya, Salang berkata beliau tidak akan memberi respons kepada pelbagai dakwaan yang dilemparkan terhadap dirinya.

"Saya percaya majoriti penduduk di Julau tahu kebenarannya. Ini berdasarkan peningkatan sokongan yang dijanjikan kepada Barisan Nasional dan diri saya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain