suria

RM600,000 Baik Pulih Prasarana Kondo Rakyat Pantai Dalam

KUALA LUMPUR: Penduduk di kawasan Kondo Rakyat Pantai Dalam pasti lega apabila kira-kira RM600,000 disalurkan bagi membaik pulih kemudahan prasarana di kawasan mereka.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata kerajaan menyediakan peruntukan besar itu untuk menjamin keselesaan rakyat.

"Sebanyak RM350,000 diperuntukkan bagi membaiki Jalan Pantai Permai 1 dan kawasan sekitarnya dan RM200,000 lagi bagi pembinaan benteng longkang di kawasan itu.

"Hanya kerajaan Barisan Nasional yang mampu menjamin kesejahteraan rakyat bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan yang disediakan secara berterusan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong-Royong Mega 1Malaysia Parlimen Lembah Pantai di sini, Ahad.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Sukiman Surahman, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd Mohd Zin Hassan dan Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Kondo Rakyat Pantai Dalam Yusri Ahmad.

Pada majlis itu, Raja Nong Chik turut menyampaikan cek bernilai RM162,000 daripada bekas pemaju kondo, Syarikat Kemajuan Perumahan Negara Sdn Bhd (SKPN) yang merupakan anak syarikat YTL Land & Development Bhd kepada Yusri Ahmad mewakili penduduk Kondo Rakyat Pantai Dalam. Ia bagi penyelenggaraan dan bayaran bulanan lif.

Terdahulu, para penduduk kondo itu berdialog dengan DBKL dan Alam Flora Sdn Bhd bagi menyelesaikan permasalahan mereka. - BERNAMA

Artikel Lain