suria

Polis Tahan Tiga Lelaki Berhubung Kes Culik Peguam Di Rawang

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki yang didakwa menculik seorang peguam sebelum membebaskannya Rabu lepas setelah menerima wang daripada keluarga mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata tiga lelaki tersebut ditahan semalam di sekitar ibu negara dalam kes yang pada mulanya dilaporkan sebagai penculikan tetapi siasatan mendapati kes itu lebih terarah kepada masalah hutang.

"Mungkin peguam tersebut berhutang dengan kumpulan lelaki terbabit dan bukan kerana mahukan wang tebusan. Ketiga-tiga lelaki itu mendakwa peguam tersebut berhutang sebanyak RM180,000 dengan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sukan Rakyat Polis Bersama Masyarakat sempena sambutan Hari Polis ke-205 di Kerinchi, di sini, Sabtu.

Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh dan timbalannya Datuk Amar Singh Ishar Singh serta ketua-ketua ibu pejabat polis daerah.

Ku berkata peguam itu yang diculik dan dikurung oleh kumpulan itu pada Sabtu lepas telah dibebaskan pada Rabu setelah keluarga mangsa memberikan cek bernilai RM150,000 kepada kumpulan terbabit.

"Selepas menerima cek tersebut, peguam itu ditinggalkan bersendirian di dalam sebuah rumah di Rawang," katanya.

Beliau berkata peguam itu mendakwa sebelum kejadian, beliau sedang menikmati sarapan di sebuah cafe di Metro Prima Kepong bersama beberapa lelaki sebelum dibawa ke sebuah rumah di Rawang.

"Peguam berumur 35 tahun itu juga mendakwa telah dipukul dan diberi minuman yang mengkhayalkan oleh kumpulan tersebut sehingga tidak sedarkan diri," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain