suria

PAS Jangan Letak Syarat Untuk Muzakarah - Mustapa

KOTA BAHARU: PAS diminta tidak meletakkan syarat bagi muzakarah dengan Umno, jika parti itu benar-benar ikhlas untuk berbincang, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata Umno sudah lama menyatakan persetujuan untuk mengadakan muzakarah itu tetapi PAS sebaliknya meletakkan syarat tidak munasabah sehingga menggagalkan usaha tersebut.

"Nak berbaik seperti mengadakan muzakarah ini lebih baik jangan adakan syarat. Sepatutnya tidak ada syarat yang boleh menjejaskan pertemuan ini.

"Ini perkara baik dan perlu disambut dengan tangan terbuka oleh semua pihak. Yang penting adalah untuk melihat perpaduan dapat dijalinkan dengan baik," katanya selepas merasmikan Seminar Kejururawatan sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia peringkat Negeri Kelantan, di sini, Ahad.

Turut hadir Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Datuk Makhtar Mustafa.

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bersetuju mengadakan muzakarah dengan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Umno, namun dengan syarat pokok persoalan muzakarah haruslah tertumpu mengapa menolak Islam.

Katanya kedua-dua parti Melayu beragama Islam itu perlu duduk semeja membincangkan bagaimana untuk mengeratkan perpaduan dan memperteguhkan Islam itu.

"Kita harus terbuka untuk mengadakan muzakarah ini. Bagi UMNO, ini adalah untuk kebaikan negara akhirnya," kata Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Sementara itu, Mustapa berkata cadangan untuk mengadakan debat terbuka menjelang pilihan raya umum bukanlah suatu perkara baru dan telah diamalkan sebelum ini.

"Debat terbuka ini sentiada diadakan dan akhirnya memberi peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Mustapa berkata rakyat harus mengetahui betapa besarnya jasa kerajaan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

"Rakyat hanya membayar kira-kira satu peratus sahaja caj perubatan kerana yang lainnya telah diberikan subsidi yang cukup besar," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain