suria

MIC Serah 56 Nama Calon - Palanivel

JOHOR BAHARU: MIC telah menyerahkan senarai calonnya yang bakal bertanding pada pilihan raya umum ke-13 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Presiden parti, Datuk Seri G. Palanivel berkata senarai itu meletakkan dua nama bagi setiap kerusi yang akan ditandingi MIC.

"Kita telah menghantar dua nama calon bagi setiap sembilan kerusi parlimen dan 19 kerusi dewan undangan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra Masyarakat India Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas yang dihadiri kira-kira 1,000 orang, di sini, Ahad.

Antara yang hadir ialah Anggota Parlimen Pasir Gudang yang juga Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi MIC Johor, Datuk K.S. Balakrishnan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Datuk MM Samy dan Adun Johor Jaya, Tan Cher Puk.

Kata Palanivel perbincangan untuk menyenarai pendek nama-nama tersebut akan dilakukan selepas Perdana Menteri yang kini berada di Amerika Syarikat, kembali ke tanah air.

"Senarai calon yang dihantar adalah kombinasi muka baru dan lama termasuk calon wanita, mempunyai pengalaman dan sekurang-kurangnya memiliki ijazah sarjana muda," katanya.

Palanivel berkata, MIC juga bersedia berbincang mengenai cadangan pertukaran kerusi dengan parti komponen BN yang lain berdasarkan situasi menang-menang.

Beliau juga berkata MIC yakin untuk mengekalkan kesemua empat kerusi DU Niaitu Gambir, Tenggaroh, Kahang dan Permas dan kerusi parlimen Segamat di Johor.

Pada majlis itu, beliau dan Mohamed Khaled menyerahkan pelbagai jenis bantuan yang disalurkan kerajaan antaranya wang Bantuan Rakyat 1Malaysia, Notebook 1Malaysia dan Anugerah Pelajar Cemerlang. BERNAMA

Artikel Lain